- Apa itu bulan Ramadan?
Bulan Ramadan ialah bulan yang kesembilan dalam kalendar Hijriyah. Secara bahasa, perkataan Ramadan bermaksud ar-Ramdā`, iaitu panas membara. Makna bulan Ramadan sebagaimana di dalam al-Qur’an ialah bulan yang diturunkan al-Qur’an, yakni sebagai hidayah kepada manusia dan keterangan-keterangan nyata yang menunjuk kepada kebenaran, serta membezakan antara yang hak dan yang batil.
- Apa tujuan dan hikmah puasa?
Tujuan dan hikmah puasa ialah menjadikan kita lebih bertakwa kepada Allah. Ia melatih kita untuk mengawal hawa nafsu dan syahwat seperti menahan diri dari perasaan marah, dengki dan sebagaimana. Dengan berpuasa, kita akan selalu ingat kepada Allah dan tidak berniat jahat untuk melakukan perbuatan dosa dan maksiat.
- Apa keistimewaan bulan Ramadan?
Pada bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka, pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan-syaitan pula diikat. Bulan inilah masanya untuk kita meraih kesempatan mendapatkan pahala sebanyak-banyaknya.
Orang yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan. Kedua-dua keistimewaan ini adalah sebagaimana di dalam hadis riwayat imam al-Bukhari dan imam Muslim.
- Apakah sunnah-sunnah puasa yang boleh kita ikuti?
Terdapat beberapa sunnah puasa yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w: Mengakhirkan makan sahur, menyegerakan berbuka, berbuka dengan kurma atau air, berdoa ketika hendak berbuka, memberi makanan untuk orang-orang berbuka, memperbanyakkan derma dan amal ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya.
- Apakah perkara-perkara yang boleh mengurangi puasa?
Puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Setiap muslim yang berpuasa juga perlu memastikan amal ibadah wajibnya seperti solat dan zakat serta menjaga dirinya daripada perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat, marah, maksiat dan sebagainya.
- Solat tarawih sendirian atau berjemaah?
Imam Al-Nawawi mengatakan dalam al-Majmu’: Solat tarawih adalah sunnah berdasarkan ijma’ para ulama. Boleh dilaksanakan secara bersendirian ataupun secara berjamaah. Yang manakah lebih afdal di antara keduanya? Terdapat dua pendapat yang masyhur dan yang sahih dengan kesepakatan para ashab (asy-Syafi’iyyah), solat tarawih berjamaah itu lebih afdal.
- Amalan apakah boleh kita lakukan bersama keluarga setiap malam Ramadan?
Di dalam suasana covid-19 yang tidak menentu, masyarakat Islam Singapura dianjurkan untuk melaksanakan ibadah bersama keluarga di rumah. Banyak kegiatan ibadah boleh dilakukan bersama seperti iftar, solat magrib dan isyak berjemaah serta solat tarawih. Amalan tadarus al-Qur’an juga sangat baik dilakukan bersama untuk menghidupkan suasana Ramadan di rumah.
- Apa itu Lailatul Qadar?
Lailatul Qadar adalah satu malam yang sangat istimewa yang terjadi pada bulan Ramadan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan (Surah al-Qadar). Pada malam tersebut, al-Qur’an diturunkan dan kita dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadah seperti solat, selawat, zikir, membaca al-Qur’an dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. Para ulama berselisih pandangan tentang bilakah ia terjadi. Antaranya ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Walaupun begitu, agama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan kerana tidak ada serorang pun yang dapat mengetahui bilakah malam seribu bulan itu terjadi.
- Apakah amalan Nabi Muhammad s.a.w pada 10 malam terakhir?
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan imam Muslim, Aisyah (isteri nabi s.a.w) pernah berkata: “Nabi s.a.w apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam-malam Ramadan)”.
- Apakah doa yang perlu dibaca pada malam Lailatul Qadar?
Aisyah pernah bertanya kepada Nabi s.a.w dengan soalan yang sama. Baginda s.a.w menjawab: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni”. Maknanya: Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.
Semoga Ramadan kita pada kali ini menjadikan kita lebih dekat kepada Allah s.w.t dan lebih takwa kepadanya.