ANDI (bukan nama sebenar) tiba di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) atas rujukan Perkhidmatan Perlindungan dan Penjagaan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2017.

Dilahirkan kepada bapa, warga Singapura, dan ibu, warga negara jiran, Andi merupakan seorang anak yatim piatu. Beliau dibesarkan di negara jiran itu tetapi tidak mempunyai visa yang sah untuk tinggal di situ selepas kematian ibunya.

 

Oleh sebab Andi tidak mempunyai penjaga yang boleh dikenal pasti, beliau diletakkan di bawah jagaan RKM selepas dihantar pulang ke Singapura.

Pihak RKM dan MSF kemudian berupaya menghubungkan Andi bersama keluarga sebelah allahyarham bapanya, dengan beliau menjalin hubungan dengan mereka.

Andi yang berumur 15 tahun pada 2017 berada dalam jagaan RKM sehingga umurnya 21 tahun dan dapat menamatkan persekolahannya. Beliau telah dilepaskan lebih awal menyusuli perintah mahkamah dan kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Daripada seorang remaja yang takut dan keliru, Andi telah berubah menjadi pemuda yang yakin di bawah penjagaan dan didikan pekerja kesnya, Cikgu Rizal, Cikgu Faiz dan Cikgu Sumiati.

Beliau kini berharap dapat berkhidmat sebagai sukarelawan di RKM dan memberi inspirasi kepada penghuni lebih muda.

 

Kisah Andi adalah antara kes ihsan kendalian RKM.

Profil kes penghuni di RKM telah beralih daripada menangani kes pesalah juvenil dan probesyen kepada kes ihsan di bawah naungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

RKM yang telah berpindah ke 101 Pasir Ris Road dari Bedok North Street 3 pada Jun lalu, kini menjaga 37 penghuni berusia antara 12 tahun dengan 19 tahun.

Penghuni itu ditempatkan di RKM untuk perlindungan dan bimbingan supaya mereka dapat kembali kepada keluarga dengan selamat.

Dengan pertukaran profil kes penghuni RKM, pendekatan penjagaan telah berkembang daripada rejimen tegas dan berstruktur kepada penjagaan intervensi yang lebih individu dan terperinci.

Pengerusi bagi anggota jawatankuasa pengurusan RKM dan juga Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata:

“Kami terus berusaha memastikan anak-anak di Rumah Kebajikan Muhammadiyah diberi penjagaan yang baik serta dibentuk jati diri mereka agar dapat menjadi insan yang berkebolehan, berdikari dan berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

“Dengan itu, dari masa ke masa kami terus memperbaiki pengurusan dan program kami agar anak-anak ini meraih manfaat sepenuhnya semasa mereka berada di RKM dan terus diberikan sokongan dan panduan setelah mereka tinggalkan RKM.”

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, RKM berencana mengamalkan pendekatan Trauma Informed Care dengan kakitangan RKM akan lebih maklum tentang impak trauma kepada anak-anak yang dimasukkan ke RKM.

Pendekatan ini akan disepadukan dengan prosedur, prasarana dan cara kerja. Kakitangan akan dilatih untuk melengkapkan diri dengan cara penjagaan terbaru ini seperti memahami dan mengenal pasti tanda-tanda dan gejala trauma, isu asas di sebalik setiap tindakan, reaksi dan tingkah laku sebelum merancang tindakan seterusnya yang akan diambil.

Program intervensi tertumpu buat penghuni dirancang berdasarkan risiko dan keperluan individu, dengan program seperti seni terapeutik dan program berkebun diadakan.

Selain itu, ada juga bengkel dan kerja secara berkumpulan yang meliputi pelbagai topik seperti peraturan emosi, berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu dan memilih rakan sebaya yang betul serta ceramah motivasi dan pendidikan, semua ini diadakan khas untuk penghuni di sini.

Di RKM yang baru, sebuah kemudahan baru iaitu Play Therapy Room untuk penghuni berkeperluan khas, telah diadakan. Seorang pakar terapi bermain bertauliah akan terlibat menganjurkan sukatan sistematik untuk anak-anak yang memerlukan.

Secara purata, anak-anak RKM menginap di RKM antara setahun dengan setahun setengah. Kakitangan yang menyelaras kes akan bekerjasama dengan setiap penghuni dan keluarga supaya mereka dapat bersatu semula dengan lancar. Lantaran itu, program intervensi keluarga akan dianjurkan untuk mengutuhkan unit keluarga dengan memperkasa anggota keluarga bagi memperbaiki mutu hubungan mereka.

RKM juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain termasuk badan-badan kementerian demi memastikan penghuni dan keluarga penghuni mendapat sokongan yang diperlukan sebelum keluarga ini disatukan semula. Selain itu, RKM juga mempunyai pelbagai daya usaha untuk menyokong anak-anak RKM yang telah meninggalkan RKM.

Antara daya usaha utama RKM ialah dengan menawarkan biasiswa kepada mereka yang melanjutkan pendidikan posmenengah. Biasiswa Al Fatih yang diperkenal pada 2013 menawarkan bantuan kewangan dalam perbelanjaan berkenaan sekolah seperti duit sekolah dan pengangkutan, untuk menggalakkan bekas penghuni RKM agar mereka meneruskan pendidikan mereka. Menurut kajian RKM, para belia yang meneruskan pendidikan mereka ke tahap posmenengah lebih kurang risiko melakukan kesalahan semula.

Setiap biasiswa bernilai $2,500 yang akan diagihkan secara bulanan, membolehkan pekerja kes RKM berhubungan dengan bekas penghuni dan memberikan mereka bimbingan dan sokongan apabila perlu.

Sejak 2013, biasiswa bernilai $171,150 telah diagihkan kepada 83 penerima.

Pada bulan depan, 15 bekas penghuni akan diberikan anugerah biasiswa ini dalam acara tahunan Hari Residen. Acara akan diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.

“Pada tahun ini, RKM akan memulakan Program Sokongan selepas Perlepasan (Post Discharge Support Programme) untuk penghuni yang sudah keluar daripada RKM. Kami mahu terus memberi sokongan kepada mereka selepas mereka pulang ke pangkuan keluarga supaya usaha penyatuan keluarga berjaya,” kata Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed.

RKM ditubuhkan pada Disember 1989 di Mountbatten Road dan telah menjaga lebih daripada 1,000 anak-anak selama 32 tahun dalam perkhidmatan.

CARA BERI SUMBANGAN

Untuk terus menyokong RKM supaya dapat terus menabur bakti kepada anak-anak dan keluarga yang perlu bimbingan dan sokongan, anda boleh menyumbang melalui kaedah berikut:

  • Cek atas nama MWH Kirim cek ke alamat 101 Pasir Ris Road (519154)
  • Pemindahan dana melalui bank DBS Autosave 017-010046-7
  • PayNow ke UEN S58SS0020CMWH
  • Lungsuri laman https://www. giving.sg/muhammadiyah- welfare-home

Benefiting the community together

since 1957

atau

Follow Our Socials

You can find us on these platforms too!

DAKWAH

  • Asatizah Development
  • Free religious classes and programmes
  • Promoting positive moral values
  • Inter-faith dialogues
  • Combating extremism
  • Addressing societal issues

EDUCATION

  • Muhammadiyah Kindergarten
  • KABA Weekend Madrasah
  • Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah
  • Muhammadiyah Islamic College
  • Biasiswa Muhammadiyah (Scholarship)

WELFARE

  • Assistance to low-income families
  • Assistance to underprivilleged students
  • Jenazah Management Services
  • Projek Sinar Ihsan – Fostering Agency
  • Muhammadiyah Welfare Home (MWH)
  • Muhammadiyah Health & Day Care Centre (MHCC)
  • Muhammadiyah Senior Activity Centre – SAC (Yishun)
  • Advance Care Planning (ACP)