Setiap nikmat yang diperolehi oleh setiap insan datang daripada Allah s.w.t. Nikmat ini diperolehi tanpa mengira sama ada mereka itu orang-orang yang beriman ataupun yang kufur kepada-Nya. Begitulah luasnya pemberian nikmat oleh Allah s.w.t yang dikurniakan kepada makhluk-makhluk-Nya di dunia ini sehinggakan kita tidak mampu menghitungnya. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ibrahim, ayat ke-34:
وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ.
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”
Bagi umat Islam, di antara nikmat yang perlu diberikan perhatian dalam kehidupan ini adalah nikmat masa dan usia. Kita perlu memberikan perhatian kepada kedua-dua nikmat ini kerana ia adalah di antara nikmat yang paling berharga yang dikurniakan Allah SWT dalam kehidupan kita ini.
Mengapakah nikmat masa dan usia merupakan di antara nikmat yang paling berharga? Ini kerana masa kita akan terus berjalan ke hadapan dan usia kita akan tetap terus bertambah. Ia sama sekali tidak akan berhenti ataupun menunggu kita. Kita juga tidak akan mampu untuk memberhentikannya, apa lagi ingin mengembalikan masa yang telah berlalu. Maka itu, amat penting untuk kita memerhatikan bersama nasihat Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan masa.
Nabi s.a.w bersabda, daripada Abdullah Bin Abbas r.a:
((اغْتَنِمْ خَمْسًا قبلَ خَمْسٍ: شبابَكَ قبلَ هَرَمِكَ، وصِحَّتَكَ قبلَ سَقَمِكَ، وغِناءكَ قبلَ فَقْرِكَ، وفَراغَكَ قبلَ شُغلِكَ، وحياتَكَ قبلَ موتِكَ))
“Gunakanlah yang lima sebelum datang yang lima. Gunakan masa mudamu sebelum masa tuamu datang. Gunakan masa sehatmu sebelum masa sakitmu datang. Gunakan masa kayamu sebelum masa miskinmu datang. Gunakan waktu luangmu sebelum waktu sempitmu datang. Gunakan masa hidupmu sebelum masa matimu datang.” (Riwayat Abi Dunya, Hakim, Baihaqi – disahihkan oleh Albani)
Walau bagaimanapun, berapa ramai daripada manusia yang telah mensia-siakan masa dan usia yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya?
Nabi s.a.w bersabda, daripada Abdullah bin Abbas r.h:
((نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ.))
“Dua nikmat yang banyak dilalaikan manusia; kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat Bukhari)
Maka itu, sebagai orang yang beriman, kita hendaklah gunakan masa dan usia yang diberi kepada kita dengan sebaik-baiknya dan janganlah mensia-siakannya dengan perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat.
Masa dan usia adalah suatu perkara yang misteri bagi kita semua. Ini kerana kita tidak akan tahu berapa banyakkah masa dan usia yang diberikan Allah s.w.t kepada kita. Namun, Nabi s.a.w telah memberikan satu nasihat yang sangat berguna walaupun dengan segala kejahilan kita mengenai pengakhiran usia kita.
Daripada Abdul Rahman Bin Bakrah RA daripada bapanya, dia berkata:
أنَّ رجلًا قالَ: يا رسولَ اللَّهِ أيُّ النَّاسِ خيرٌ؟ قالَ : مَن طالَ عمرُهُ، وحَسنَ عملُهُ، قالَ: فأيُّ النَّاسِ شرٌّ؟ قالَ: مَن طالَ عمرُهُ وساءَ عملُهُ.
“Bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Kita semua mengetahui kewajipan untuk sentiasa melakukan amal kebaikan. Maka itu, tetapkanlah satu keazaman dalam diri kita untuk sentiasa memanfaatkan masa dan usia yang diberi, demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.
Sebagai orang yang beriman, sudah pastinya kita mengetahui akan akibat daripada kelalaian, kealpaan dan kegagalan kita dalam memanfaatkan masa yang diberi. Akibat tersebut telah difirmankan Allah s.w.t di dalam Surah Al-Asr:
وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Maka itu, marilah kita bebaskan diri kita daripada terbelenggu dengan kerugian tersebut. Bagaimana caranya? Dengan memastikan keimanan kita sentiasa hidup dan subur di dalam hati dan jiwa kita. Di samping itu, penuhilah masa kita dengan amal soleh seperti membaca Al-Quran dan menghayatinya supaya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at kepada orang yang membacanya. Kita juga perlu terus mendalami hadis-hadis Nabi s.a.w serta mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat. Pada masa yang sama, manfaatkanlah sisa umur yang kita ada ini dengan menjadi insan yang dapat memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada insan yang lain.
Semoga Allah SWT memberkati masa dan usia kita dan menerima segala amal ibadah kita. Amin Ya Rabbal ‘alamin.