Marilah sama-sama kita kenali erti kasih sayang Allah s.w.t terhadap manusia dan hamba-hamba-Nya. Telah berkata Ibnul Qayyim r.h, di dalam kitabnya Al-Jawabul Kafi.

مَنْ عَرَفَ اللهَ بِأَسْمَائِهِ وَصِفَاتِهِ وَأَفْعَالِهِ، أَحَبَّهُ لاَمَحَالَةَ

“Barangsiapa yang mengenal Allah melalui nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya, dan perbuatan-perbuatan-Nya, pasti dia akan mencintai-Nya!”

Terdapat dua nama Allah s.w.t yang selalu kedengaran di telinga kaum muslimin, yang banyak kali disebutkan oleh lisan kaum mukminin. Ada dua nama Allah s.w.t yang terkandung di dalam basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم) yang menjadi sebahagian dari surah Al-Fatihah. Dua nama itu adalah Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Kedua-dua nama Allah s.w.t ini, berkaitan dengan “rahmat” (kasih sayang) Allah s.w.t.

  • Ar-Rahman bermaksud yang memiliki rahmat yang luas, meliputi seluruh makhluk-Nya; wazan (فَعْلَان) dalam bahasa Arab menunjukkan kepada keluasan dan menyeluruh. Sebagai contoh jika ada seorang lelaki yang selalu marah pada setiap perkara, dia dipanggil: رَجُلٌ غَضْبَانٌ.
  • Ar-Rahim pula adalah nama yang menunjukkan kepada perbuatan, kerana فَعِيل  bermakna فَاعِل.

Sifat rahmat (kasih sayang) Allah yang terkandung di dalam kedua nama tersebut, sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan Allah s.w.t.

Apakah terdapat perbezaan makna pada kedua-dua perkataan Ar-Rahman dan Ar-Rahim ini?

Ada ulama yang mengatakan bahawa Ar-Rahman bererti: Allah s.w.t memberikan kasih sayang-Nya secara umum, kepada seluruh makhluk-Nya di dunia, sedangkan Ar-Rahim membawa erti: Allah s.w.t memberikan kasih sayang-Nya secara khusus hanya kepada orang-orang yang beriman di akhirat kelak.

Selain pendapat tersebut, Syeikh Khalil Harash menyebutkan pendapat lain tentang perbezaan antara makna Ar-Rahman dan Ar-Rahim, “Al-‘Allamah Ibnul Qayyim r.h telah membawakan pendapat bahawa Ar-Rahman menunjukkan sifat yang terkandung pada Dzat, sedangkan Ar-Rahim menunjukkan keterkaitan sifat tersebut (rahmat) dengan makhluk yang dirahmati. Dengan yang demikian, lafaz ‘Ar-Rahman’ tidak diungkapkan dalam bentuk muta’addi (perlu kepada objek). Sementara lafaz Ar-Rahim diungkapkan dengan menyebutkan objek. Allah s.w.t telah berfirman,

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيماً

“Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Ahzab: 43)

Pada ayat tersebut, tidak dikatakan “رَحْمَانًا”, akan tetapi, Allah menyebutkan “رَحِيماً ”. Inilah pendapat terbaik tentang perbezaan makna kedua perkataan tersebut.”

Kasih sayang yang mencakupi seluruh makhluk-Nya, ia disebut sebagai (الرحمة العامة) iaitu kasih sayang yang Allah berikan secara umum, kepada seluruh makhluk-Nya tanpa terkecuali.

Sifat ini dikaitkan dengan sifat “al-‘ilmu” dalam firman Allah berikut ini,

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْماً

“Wahai Tuhan kami, rahmat dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu” (Ghafir: 7)

Ilmu Allah s.w.t meliputi segala-galanya. Dengan cara ini, Rahmat-Nya (kasih sayang-Nya) juga dirasakan oleh segala sesuatu. Ini kerana Allah s.w.t menggandingkan antara ilmu-Nya dan rahmat-Nya. Kasih sayang jenis ini dapat dirasakan oleh badan semasa di dunia, seperti: makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan kasih sayang Allah yang khusus? Kasih sayang Allah yang khusus, yang disebut (الرحمة الخاصة), adalah kasih sayang Allah s.w.t yang diberikan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Kasih sayang jenis ini, bersifat imaniyyah, diniyyah, duniawiyyah dan ukhrawiyyah. Ia berbentuk bantuan dan taufiq untuk mengerjakan ketaatan, kemudahan untuk beramal kebajikan, keteguhan pada keimanan, petunjuk bagi menuju ke jalan yang lurus, serta kemuliaan dengan dimasukkan ke dalam syurga dan dibebaskan dari seksaan api neraka.

Apakah dia kasih sayang Allah di akhirat kelak? Terdapat perbezaan yang ketara mengenai Rahmat Allah di akhirat.

Rahmat Allah s.w.t bagi orang-orang yang tidak beriman, mereka hanya mendapatkannya dan merasakannya setakat di dunia sahaja. Lihatlah keadaan mereka ketika di akhirat nanti, Allah s.w.t berfirman:

رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْهَا، فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ

“Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.” (Al-Mu’minun: 107)

Tidak ada rahmat bagi mereka pada Hari Pembalasan, yang ada hanya keadilan! Allah berfirman kepada mereka,

قَالَ اخْسَؤُوا فِيهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ

“(Allah) berfirman: “Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!” (Al-Mu’minun: 108)

Demikianlah keadaan orang-orang yang tidak beriman di akhirat.

Lalu, bagaimana dengan keadaan orang-orang yang beriman?

Di akhirat kelak, Allah s.w.t akan mengkhususkan rahmat, keutamaan, dan kebaikan dari-Nya bagi orang-orang mukmin. Allah s.w.t juga akan memuliakan mereka dengan keampunan dan penghapusan dosa. Betapa luasnya kurniaan Allah s.w.t itu, sehinggakan lidah tidak mampu mengungkapkannya dan fikiran tidak mampu membayangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda:

إنَّ لِلَّهِ مِئَةَ رَحْمَةٍ، أَنْزَلَ منها رَحْمَةً وَاحِدَةً بيْنَ الجِنِّ وَالإِنْسِ وَالْبَهَائِمِ وَالْهَوَامِّ، فَبِهَا يَتَعَاطَفُونَ، وَبِهَا يَتَرَاحَمُونَ، وَبِهَا تَعْطِفُ الوَحْشُ علَى وَلَدِهَا، وَأَخَّرَ اللَّهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً، يَرْحَمُ بِهَا عِبَادَهُ يَومَ القِيَامَةِ.

“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Salah satu darinya diturunkan kepada kaum jin, manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan. Dengan rahmat itulah mereka saling berbelas kasihan dan saling sayang menyayangi. Dengannya pula binatang liar mengasihani anaknya. Dan Allah mengakhirkan (melambatkan) 99 rahmat, untuk Dia curahkan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih; lafaznya dari Abu Hurairah r.a)

Jika seorang hamba memperbanyakkan ketaatan dan mendekatkan dirinya kepada Rabbnya, maka akan bertambah pula bahagian dari rahmat Allah yang akan diterimanya. Allah s.w.t berfirman pada ayat-ayat berikut ini:

وَهَـذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah kamu agar kamu diberi rahmat.” (Al-An’am: 155)

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ، لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat, dan taatilah Rasul (Muhammad), supaya kamu diberi rahmat.” (An-Nur: 56)

إِنَّ رَحْمَتَ اللّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”(Al-A’raf: 56)

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ، فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَـاةَ، وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

“Maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Al-A’raf: 156)

Hanya kepada Allah s.w.t jualah kita memohon dan meminta, agar dengan rahmat-Nya, kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang soleh. Semoga Allah s.w.t juga mencurahkan kasih sayang-Nya kepada kita, sebagaimana yang Dia limpahkan kepada kekasih-kekasih-Nya yang beriman. Sungguh Allah s.w.t itu Maha Mulia lagi Maha Agung, Rahmat-Nya begitu luas tidak terbatas.