AMALAN SHA’BAN : PERSIAPAN BULAN RAMADAN

1- AMALAN DI BULAN SHA’BAN : PERSIAPAN UNTUK MENYAMBUT RAMADAN

Bulan Sha’ban adalah bulan yang terletak antara Rajab dan Ramadan. Ia merupakan bulan yang sering dilupakan oleh sebahagian umat Islam kerana kedudukannya di antara dua bulan yang penuh kemuliaan.

Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Sha’ban?. Nabi ﷺ bersabda:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali di dalam kitab Latha’if al-Ma’arif menyatakan terdapat beberapa faedah yang boleh diperolehi daripada hadith ini.

2- KEUTAMAAN BERAMAL DALAM BULAN SHA’BAN

Dalam hadis ini terdapat beberapa faedah:

A. Bulan yang sering dilalaikan oleh manusia

Nabi ﷺ menjelaskan bahawa kerana bulan Sha’ban terletak antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rejab (bulan haram) dan bulan Ramadan (bulan puasa), manusia lebih sibuk dengan kedua-duanya sehingga mereka lalai daripada keutamaan Sha’ban.

B. Keutamaan menghidupkan waktu-waktu yang dilalaikan dengan ibadah

Ini menunjukkan bahawa sebahagian waktu, tempat, atau individu yang kurang terkenal keutamaannya sebenarnya lebih utama dalam keadaan tertentu. Namun, kerana kurang diketahui, manusia sibuk dengan apa yang lebih terkenal, lalu terlepas keutamaan yang tersembunyi.

C. Beribadah dalam keadaan tersembunyi lebih utama

Terutama bagi amalan seperti puasa, yang merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Disebut bahawa sebahagian salaf (ulama terdahulu) berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui orang lain. Mereka keluar rumah dengan dua keping roti, lalu menyedekahkannya. Keluarga menyangka mereka telah makan, manakala orang di pasar menyangka mereka telah makan di rumah.

D. Beribadah dalam suasana yang penuh kelalaian lebih berat bagi jiwa

Semakin sedikit orang yang beribadah, semakin berat bagi seseorang untuk istiqamah dalam ibadah, kerana kebanyakan manusia cenderung meniru kebiasaan sekeliling mereka. Oleh itu, ketika ramai yang lalai, amalan seorang yang beribadah menjadi lebih berat dan lebih berharga di sisi Allah.

Abu Umayah Ash-Sha’bani berkata, “ Aku pergi kepada Abu Tha’labah Al-Khushani dan berkata kepadanya: “Bagaimana engkau memahami ayat ini?” Dia berkata: “Ayat yang mana?” Aku berkata: “Firman Allah: Jagalah diri kamu! Jika kamu mengikuti petunjuk, maka tidaklah akan memudaratkan kamu orang yang sesat (Al-Ma’idah: 105).”

Dia berkata: “Demi Allah! Aku pernah bertanya kepada seseorang yang benar-benar mengetahui tentangnya, aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ mengenainya. Maka baginda bersabda:

“Sebaliknya, tetaplah berpegang kepada kebaikan dan menyeru kepadanya, serta jauhilah keburukan dan mencegahnya, sehinggalah kamu melihat sifat kedekut ditaati, hawa nafsu diikuti, dunia diutamakan, dan setiap orang merasa takjub dengan pendapatnya sendiri. Ketika itu, hendaklah kamu menjaga diri kamu sendiri dan menjauhi orang ramai. Sesungguhnya akan datang hari-hari yang mana kesabaran di dalamnya seperti menggenggam bara api. Orang yang beramal soleh pada waktu itu akan mendapat pahala seperti lima puluh orang yang mengerjakan amalan seumpama yang kamu lakukan.”

Abdullah bin Al-Mubarak berkata: “Selain daripada ‘Utbah, ada tambahan yang disebutkan kepadaku, bahawa ada yang bertanya:

‘Wahai Rasulullah! Pahala lima puluh orang daripada kalangan kami atau mereka?’

Baginda bersabda: ‘Tidak! Bahkan pahala lima puluh orang daripada kalangan kamu.’”

3- AMALAN YANG DIGALAKKAN DALAM BULAN SHA’BAN

A) Memperbanyakkan Puasa Sunnat

Nabi ﷺ banyak berpuasa dalam bulan Sha’ban sebagaimana yang disebut dalam hadis daripada Aisyah RA:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ

Maksudnya: “Baginda ﷺ biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda ﷺ apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda ﷺ menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda ﷺ berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda ﷺ berpuasa pada bulan Sha’ban”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Imam Ibn Qayyim رحمه الله menyebut tiga hikmah mengapa Rasulullah ﷺ banyak berpuasa di bulan Sha’ban:

1. Mengqadha’ puasa sunat yang tertinggal di bulan lain
Baginda sering sibuk dengan tugas kerasulan sehingga mungkin tidak sempat berpuasa sunat, maka Baginda mengumpulkannya di bulan Sha’ban.
2. Persediaan untuk Ramadan
Puasa Sha’ban adalah ibarat solat sunat sebelum solat fardu, sebagai bentuk persiapan dan keagungan bulan Ramadan.
3. Bulan diangkatnya amalan kepada Allah
Rasulullah ﷺ ingin amalannya diangkat dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.

B) Memperbanyakkan Doa dan Zikir

Bulan Sha’ban adalah peluang untuk memperbanyakkan doa dan zikir sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan. Khususnya dengan wirid dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ supaya bila masuk bulan Ramadan, kita akan terbiasa dengan amalan-amalan sunnah Rasulullah ﷺ.

C) Membaca dan Mentadabburi Al-Quran

Bulan Sha’ban juga merupakan waktu yang sesuai untuk memulakan atau meningkatkan bacaan al-Quran sebagai persiapan memasuki Ramadan. Diriwayatkan bahawa para salafussoleh akan lebih banyak membaca al-Quran pada bulan ini sebagai latihan sebelum kedatangan Ramadan.

4- Tiga Jenis Pengangkatan Amal

Para ulama menjelaskan bahawa pengangkatan amal kepada Allah berlaku dalam tiga peringkat:
1. Pengangkatan Harian

Ia berlaku pada waktu Subuh dan Asar. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi ﷺ bersabda:

“Para malaikat bertukar giliran mengawasi kalian pada waktu malam dan siang, dan mereka berkumpul pada waktu solat Subuh dan Asar. Kemudian, para malaikat yang bermalam bersama kalian naik ke langit, lalu Allah bertanya kepada mereka (sedangkan Dia lebih mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya): ‘Bagaimana kalian tinggalkan hamba-Ku?’ Mereka menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat, dan kami datang kepada mereka juga dalam keadaan mereka sedang solat.’”

2. Pengangkatan Mingguan

Ia berlaku pada hari Khamis. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”

3. Pengangkatan Tahunan

Ia berlaku pada bulan Sha’ban, seperti yang disebutkan dalam hadith Nabi ﷺ an-Nasaie yang disebutkan di atas.

5- PENUTUP

Bulan Sha’ban adalah anugerah dari Allah SWT sebagai persiapan bagi umat Islam untuk menghadapi bulan Ramadan. Dengan memperbanyakkan puasa sunat, doa, zikir dan bacaan al-Quran, seseorang dapat melatih diri untuk meningkatkan kualiti ibadah dalam bulan yang penuh keberkatan. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan taufik untuk mengamalkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ dalam bulan Sha’ban dan menyampaikan kita ke bulan Ramadan dengan iman yang kukuh dan hati yang bersih.