Muqaddimah:

Pada tanggal 16 Julai 2026 ini, umat Islam akan memasuki bulan Safar. Bulan ini – di dalam kepercayaan orang Melayu – dikaitkan dengan mitos yang kononnya ia membawa sial dan malapetaka. Khurafat itu sering bermain di dalam fikiran mereka kerana akar dhaalliinnya sudah lama merayap dan berkembang di dalam hati mereka. Sama seperti kesesatan Bani Israil menyembah ‘ijil (anak lembu). Allah berfirman:

وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ ۚ

“Dan telah diresapkan ke dalam hati mereka itu (kecintaan menyembah) anak sapi kerana kekufuran mereka.” (Surah al-Baqarah: 93)

Akibatnya, ketakutan melampau sudah menghantui mereka lalu mendesak mereka mengadakan upacara penyembahan dan tawaran di laut atau sungai pada Rabu terakhir bulan Safar itu. Kalau sudah ketakutan, mesti ada pengharapan. Apakah harapan yang mereka idamkan dari ritual dan tawaran makanan kepada “penjaga” atau “tuhan” sungai dan laut itu? Sebagai ganti, sudah tentu mereka mengharapkan keamanan, kebahagiaan, keredhaan dari “tuhan-tuhan” itu.

Masa berlalu tahun demi tahun, ketakutan dan pengharapan itu berubah menjadi kecintaan. Ritual dilakukan dengan rasa cinta dan redha kepada tuhan karut itu. Anak, cucu, cicit diajarkan terus-menerus adat buruk itu. Disuruh takut, disuruh harap, disuruh cinta kepada tuhan khayalan mereka. Tiada siapa yang menegur. Tiada siapa yang ingkar. Amar makruf dan nahi mungkar tidak akan timbul di fikiran. Mengapa? Jawapan paling mudah, paling ringkas dan tepat: Kejahilan dan taqlid buta kepada adat nenek moyang. Allah sudah mengingatkan bahaya kejahilan ini dalam kitabNya:

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّقْتَدُونَ

“Dan demikianlah, Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatanpun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak langkah mereka”.” (Surah az-Zukhruf: 23)

Apakah Safar Melayu Ada Kaitan Dengan Safar Jahiliyah?

Untuk mendapatkan jawapan, terlebih dahulu kita perlu memahami hadis berikut. Sabda Nabi ﷺ:

لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ

“Tiada jangkitan, tiada sial, tiada burung hantu dan tiada Safar”. (Hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah: 5707)

Di dalam riwayat Muslim, ada tambahan:

 وَلاَ غُولَ

“Tiada jin (yang mengganggu musafir di padang pasir). (Hadis riwayat Muslim, daripada Jabir r.a: 2222a)[1]

Perkataan “Safar” di dalam hadis ini dijelaskan dengan beberapa pengertian:

  1. Musyrikin suka menangguhkan pengharaman bulan Muharram ke bulan Safar. Ini yang dinamakan “Nasii’” (نَسِيْء). Inilah yang dimaksudkan di dalam surah at-Taubah, ayat 37. Ini adalah pendapat Imam Malik rahimahullah. Ayat tersebut memang membicarakan tentang bulan Safar yang Jahiliyah haramkan sebagai ganti bagi Muharram. Namun, untuk menafsirkan hadis ini dengan peristiwa itu Imam Nawawi rahimahullah berkata pendapat ini tidak kuat.
  2. Sebaliknya, Imam Nawawi menguatkan pandangan Imam Mutarrif, Imam Ibn Wahb, Imam Ibn Hubaib dan ramai lagi rahimahumullah, yang mengatakan bahawa Safar yang dipercayai oleh Jahiliyah itu ialah “ulat di dalam perut yang boleh membunuh manusia sewaktu manusia itu lapar”.[2]
  3. Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (rujuk: notakaki no.5) menukil daripada Abu Daud daripada Muhammad b. Rashid Al-Makhuli yang berkata: “Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial”.[3] Syekh Ibn Baz rahimahullah, bekas Mufti Saudi, juga berpendapat yang sama.[4]

Dengan penjelasan yang diberikan oleh Imam An-Nawawi, dapatlah kita membuat kesimpulan bahwa sehingga zaman beliau (iaitu sehingga akhir kurun ketujuh Hijrah), masyarakat Islam di Timur Tengah tidak mempunyai kepercayaan yang serong tentang bulan Safar seperti halnya kepercayaan masyarakat Melayu. Wallahu A’lam.

Dengan penjelasan yang diberikan oleh Imam Ibn Rajab dan Syekh Ibn Baz pula, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kepercayaan sesat tentang bulan Safar itu hanya berlaku di zaman Jahiliyah kemudian dihapuskan oleh Islam. Jika begitu, dari manakah masyarakat Melayu mendapat “ilham buruk” berkenaan musibah bulan Safar dan khurafat yang mereka lakukan?

Jika mereka mengikut Jahiliyah, buruk sekali tauladan yang mereka ambil, kerana ia sesat, Jahiliyah dan sudah dihapuskan oleh Nabi ﷺ. Jika mereka mengada-adakan sendiri, mereka telah membuat bid’ah dan syirik. Ada pula yang kata mereka terpengaruh animisme Hindu.

Peliknya, di zaman kita sekarang ini, ada orang jahil yang mendakwa bahawa amalan mandi Safar diizinkan oleh Nabi ﷺ! Padahal hadis tersebut tiada kaitan langsung dengannya.[5]

Aktiviti Dalam Upacara Rabu Terakhir Bulan Safar Atau Dikenali Dengan “Mandi Safar”:

Bagi memeriahkan lagi suasana di pantai sewaktu upacara Mandi Safar, masyarakat Melayu mengadakan bermacam-macam aktiviti pada hari tersebut. Dalam erti kata lain, mereka menjadikan syirik dan bid’ah itu beranak-pinak dengan aktiviti yang tidak diizinkan oleh Allah dan RasulNya ﷺ. Antara aktiviti yang diadakan ialah:

  1. Mandi Berjemaah: Penduduk kampung berkumpul di pantai dan berenang atau mandi bersama-sama sebagai tanda membersihkan diri (membuang sial).[6]
  2. Menghanyutkan Doa: Doa tolak balak yang ditulis pada kertas dihanyutkan ke laut sambil mengharap segala balak dan sial hanyut bersama arus.[7]
  3. Kenduri: Penyembelihan haiwan turut dilakukan untuk disedekahkan atau dimakan bersama masyarakat.[8]
  4. Minum Air Safar (Air Rajah/Wafaq): Upacara dimulakan dengan bacaan doa oleh ‘ustaz’ atau pawang yang merendam kertas atau papan kecil bertulis ayat al-Quran ke dalam air. Air tersebut kemudiannya diminum atau dibuat mandi.[9]
  5. Pesta Rakyat: Acara ini turut dimeriahkan dengan permainan alat muzik tradisional, sukaneka, persembahan kebudayaan seperti Mak Yong, dan gerai jualan.[10]

Perhatikan, bagaimana satu ilham, khayalan, bisikan syaitan, menyesatkan manusia sehingga menjadi terlalu takut lalu mengadakan bermacam-macam upacara untuk menghilangkan ketakutan itu.

Dalam suasana bid’ah dan khurafat begitu, siapa pun yang mendatangkan satu ide baru untuk menambah aktiviti atau membuat bid’ah atau meluaskan lagi amalan syirik tidak akan dihalang oleh sesiapapun kerana semua itu dilihat bagus dan bid’ah hasanah oleh mereka, sebab kesemuanya di dalam kesesatan dan kegelapan yang mengaburi mereka dari cahaya kebenaran. Tidak ada sesiapapun yang akan menghalang ide baru itu kecuali jika ia mengganggu periuk nasi mereka.

Bagaimanakah Cara Menolak Balak Yang Diajarkan Oleh Islam?

Balak (بَلَاء) atau Ibtilaa’ (اِبْتِلَاء) atau Balwa (بَلْوَى) ertinya ujian baik atau buruk[11], tetapi masyarakat Melayu sudah menggunakan kalimat ini lebih pada makna buruknya. Balak yang buruk lebih sesuai dinamakan “Fitnah”.

Rahmat dan balak kedua-duanya daripada Allah swt, Dialah yang mentakdirkan segala sesuatu menurut pengetahuan dan hikmahNya. Apa yang berlaku dan tidak berlaku kesemuanya adalah menurut kehendak dan keizinanNya yang azali.[12]

مَا شَاءَ اللَّهُ كَانَ وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ

“Apa yang Allah kehendaki pasti berlaku dan apa yang Allah tidak kehendaki pasti tidak akan berlaku”. (Hadis riwayat Abu Daud)[13]

Allah swt dan RasulNya ﷺ sudah mengajarkan kepada kita syarat-syarat untuk menolak balak – dan balak di akhirat lebih besar – sebagaimana Allah dan Rasul mengajar kita syarat-syarat untuk mendapatkan rahmat Allah:

  1. Beriman: Ini adalah syarat paling dasar dan utama.[14]
  2. Istighfar & Bertaubat: Kerana manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa.[15]
  3. Berzikir & Beribadah: Untuk mendapat pahala, keberkatan, pelindungan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.[16]
  4. Bertakwa: Iaitu menjauhi segala dosa kufur, syirik, bid’ah dan segala kemungkaran, besar dan kecil, zahir dan batin.[17]
  5. Melakukan Amal Soleh: Ini adalah buah hasil keimanan yang disebabkannya manusia mendapat rahmat Allah dan memasuki syurga.[18]
  6. Bercampur Dengan Orang Atau Jemaah Yang Jujur & Soleh: Supaya tidak terpengaruh dengan jejak langkah dan bisikan setan jin dan setan manusia.[19]
  7. Menuntut Ilmu & Bertanya Kepada Ulama: Ini perkara yang kedua paling wajib dilakukan setelah beriman.[20]
  8. Taat Kepada Pemimpin: Mengingkari mereka akan menempa musibah.[21]
  9. Tidak Terburu-Buru Untuk Menyebarkan Suatu Berita Sebelum Disiasat: Supaya tidak menyesal kerana menimpakan keburukan besar kepada ummah.[22]
  10. Beriman Kepada Takdir Allah, Sabar Dengannya & Mempelajarinya: Fahamkanlah Takdir Kauni dan Takdir Syar’i Allah, pelajari ia, beriman dengannya sepenuhnya dan banyakkan bersyukur dan bersabar.[23]

Warisan Kejahilan:

Apabila warisan kejahilan mengatasi warisan ilmu pengetahuan, balak dan musibah yang akan menimpa suatu ummah. Kejahilan berpunca dari layanan diri terhadap kehendak (syahwat) nafsunya dan terperangkap dalam akal fikiran yang tidak jelas (syubuhat). Nafsu manusia sewajarnya dikawal oleh akal yang sihat dan waras, akal dikukuhkan dengan ilmu pengetahuan (ilmu fardhu ‘ain & fardhu kifayah), ilmu pengetahuan dikawal pula oleh Iman, kemudian Iman dikawal oleh Takwa. Begitulah hiraki penjagaan diri yang diajarkan dalam Islam. 

Iman tanpa ilmu, manusia akan sesat, seperti orang yg melakukan khurafat mandi safar dan khurafat yang lain. Ilmu tanpa iman, manusia akan sombong dan kufur, seperti Firaun, Haman, Qarun. Nafsu tanpa kawalan akal, ilmu dan iman akan menempatkan manusia pada darjat kehinaan yang lebih rendah daripada darjat binatang. Allah Subhaanah berfirman: 

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf: 179)

Mengapakah manusia lebih mudah mewarisi kejahilan daripada mewarisi ilmu pengetahuan? Di sini dapatlah dirumuskan beberapa faktor utama:

  1. Menjauhi ARS. Iaitu menjauhkan diri dari Allah dan kitabNya, Rasulullah ﷺ dan sunnahnya dan amalan Salafussoleh.
  2. Terpukau dengan ramai atau ribuan pengikut/pengamal.
  3. Tertarik dengan bermacam-macam daya tarikan setan pada iklan, promosi dan tujuan komersial.
  4. Memusuhi ilmu, tidak mahu belajar dan mengkaji.
  5. Memusuhi ulama kerana ulama muktabar menegakkan kebenaran.
  6. Memusuhi kebenaran kerana jahil tentangnya. Padahal kalau dia sabar dan lapangkan dadanya untuk menimba ilmu dan memahami kebenaran, dia pasti akan mencintainya.
  7. Terpedaya dengan serban besar, tongkat, biji tasbih dan penampilan seorang guru agama.
  8. Rekomendasi palsu. “Aku belajar dengan tok guru fulan. Dia tu wali Allah. Wali Qutub. Darjat dia sangat dekat dengan Allah. Rugi kau tak belajar dengan dia…”. Banyak orang termakan dengan rekomendasi seumpama ini.

Ummah Beriman, Berilmu, Membangun, Berwawasan & Berwibawa:

Rasulullah ﷺ dan para Sahabatnya bertungkus lumus menegakkan Islam dan ilmunya serta memperjuangkannya dengan darah, nyawa dan harta mereka sehingga Islam berdaulat dan mengatasi tamadun lain. Para ulama salaf dan khalaf juga berusaha siang malam mengkaji ilmu, meluruskan fahaman masyarakat, menegakkan agama Allah walaupun ditentang dan dicela oleh golongan munafiq, zindiq dan ahli bid’ah. Ribuan kitab mereka masih bersinar cahaya huruf-hurufnya sehingga ke hari ini, memberi manfaat, menambah ilmu, meninggikan iman dan membakar semangat sesiapa saja yang mempelajarinya.

Wajarkah sesudah semua usaha yang murni dan perjuangan yang ikhlas itu kita membalasnya dengan membelakangkannya, mengabaikan kepentingannya, merendahkannya, mengutamakan yang lain daripadanya dan memilih yang lebih rendah nilainya?

أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

“Apakah kamu mengambil yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik?” (Surah al-Baqarah: 61)

Ummah Islamiyah mesti bangun dari tidur dan mimpinya. Bangun dan membangunkan. Bukan sekadar membangun bangunan pesat tetapi jiwa asing dari Iman dan Amal. Bangkit dari kejahilan masa silam. Keluar dari kegelapan segala khurafat, bid’ah dan syirik. Kaji fahaman-fahaman yang merusakkan minda, jiwa dan agama. Kekang fahaman itu dari menular ke fikiran anak dan keturunan. Agungkan al-Quran lebih dari segala kitab dan pelajarilah ia. Agungkan al-Hadis lebih dari segala kata hikmah manusia dan petua mereka. Agungkan Allah Subhaanah dan kenalilah Dia melalui bermacam-macam ibadah yang sah. Muliakan Rasulullah ﷺ, pelajari dan perjuangkan sunnahnya. Utamakan ulama dan bergaullah bersama mereka. Tiada rugi sesiapa yang mengutamakan mereka. Bersahabatlah dengan orang-orang Mukmin yang soleh kerana mereka mengingatkan kita kepada Allah. Bergaul dan bercampurlah dengan orang-orang yang jujur walaupun dia bukan Muslim.

Tiada jalan paling utama, paling baik dan paling benar untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat serta kebahagiaannya kecuali melalui jalan yang ditempuh oleh SalafusSoleh dalam segala urusan. Imam Malik rahimahullah sangat memahami nilai makna ini dan berkata:

لا يَصْلُحُ آخِرُ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلَّا بِمَا صَلُحَ بِهِ أَوَّلُهَا

“Ummah terakhir (yg menyusul) tiada mungkin akan menjadi soleh (baik) kecuali dengan sesuatu yang menjadikan ummah awal (SalafusSoleh) soleh”.[24]

“Sesuatu” yang dimaksudkan di dalam kata Imam Malik itu  tidak lain hanyalah al-Quran & as-Sunnah serta kefahaman yang benar mengenai aqidah, perintah & larangan serta syariat yang dijelaskan di dalamnya.

Jika ummah tidak mengikut jalan tersebut, sudah pasti mereka akan mengikut jalan subahat dan syahwat. Syubhat merosak kemurnian akal dan fitrahnya. Syahwat merosak kemurnian jiwa dan fitrahnya. Iman dan Takwa pengawal syahwat. Ilmu dan Ulama penghapus syubuhat. 

Para Anbiyaa’ dan Salafussoleh telah melalui semua itu dan mereka berjaya dunia dan akhirat. Tiada alasan lagi bagi kita untuk mencontohi jalan yang lain. Allah swt berfirman:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ

“Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka”. (Surah al-An’aam: 90)

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah”. (Surah at-Taubah: 100)

Apa saja dosa dan khurafat pasti merosakkan lima perkara asas (dharuri) yang Islam mewajibkan kita menjaganya dengan baik, iaitu: menjaga agama, nyawa, akal, maruah serta keturunan dan harta. Bayangkan saja seperti mandi safar yang dibahaskan di awal tadi, betapa banyak kerosakannya. Akidah dirusakkan oleh syirik dan bid’ah. Akal dirusakkan oleh khurafat, tidak berfikiran waras. Maruah dirosakkan dengan percampuran lelaki-perempuan, pendedahan aurat dan pergaulan bebas. Harta dibelanjakan pada sesuatu yang Allah murka. Alangkah ruginya.[25] Seterusnya, bayangkanlah kerugian dan kerosakan lain pada semua khurafat, syirik dan bid’ah yang dilakukan dalam masyarakat setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun. Jika umat berterusan sebegini maka tiada lain yang boleh membangunkan mereka kecuali kiamat.

Tetapi sebaliknya, jika umat sadar dan mengorak langkah Solah (kebaikan, soleh), Islah (pembaikan) dan Ihsan (tekun dan teliti dalam beramal) pastilah keberkatan akan turun, kemakmuran akan berlaku dan kemenangan akan dicapai. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi,” (Surah al-A’raaf: 96).

WAllahu A’lam, wabillahit Taufiq.

Disediakan oleh: Ustaz Husny b. Jasin Amin Sahib

(B.A. Hadis & Pengajian Islam, Univ. Islam Medina, Saudi)

Pengasas Institut Hadis & Dirasat Islamiah (IHDI)

[1] Nabi ﷺ ingin menafikan dan menghapuskan kepercayaan Jahiliyah terhadap kesan dan pengaruh perkara-perkara tersebut di dalam kehidupan. Perkara-perkara itu tidak boleh mempengaruhi atau memberi kesan dengan sendirinya tanpa taqdir dan izin Allah. Tiada penyakit yang boleh berjangkit dengan sendirinya. Tiada benar kepercayaan kepada sial. Jika burung hantu hinggap di rumah seseorang, itu bukan petanda tuan rumah akan mati. Tiada benarnya kepercayaan kepada Safar (ulat di dalam perut sewaktu kelaparan yang boleh membunuh manusia). Tiada benar juga gangguan jin di dalam perjalanan jauh. Semua kepercayaan buruk ini dinafikan oleh Rasulullah  dengan mengatakan “Laa”, yang bererti penafian jenisnya. Maknanya semua perkara yang di atas itu tiada hakikatnya. Ia hanya khurafat yang dibayangkan oleh Jahiliyah. Dan jika musibah berlakupun, ia adalah disebabkan taqdir dan izin Allah, bukan perkara dan kepercayaan itu yang mempengaruhi, tetapi Allahlah yang menentukan, menggerakkan dan mengizinkan ia berlaku. Pada zahirnya dilihat seolah-olah perkara tersebut mempengaruhi atau memberi kesan, tapi pada hakikatnya tidak begitu. Sebagai contoh mudah, bila anda makan obat, pada zahirnya kelihatan ia memberi kesan tetapi pada hakikatnya Allah yang 100% mentaqdirkan kesembuhan, bukan obat itu.  Obat hanya sebagai wasilah (sebab). Jika diyakini obat itu yang memberi kesembuhan, anda sudah melakukan syirik.

[2] Al-Minhaj, Syarh Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, 14/377, Hadith 2220. https://www.islamweb.net/ar/library/content/53/6681/

[3] Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif, m.s. 135-136.

[4] https://binbaz.org.sa/fatwas/19878/شرح-حديث-ولا-هامة-ولا-صفر

[5] Sila baca jawapan Mufti Wilayah Persekutuan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/699-irsyad-al-hadith-siri-ke-210-amalan-mandi-safar

[6] https://www.abim.org.my/mandi-safar-antara-adat-syariat/

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/699-irsyad-al-hadith-siri-ke-210-amalan-mandi-safar

[10] https://www.facebook.com/orangperakdotcom/posts/ramai-generasi-muda-mungkin-tidak-pernah-mendengar-tentang-temasya-mandi-safar-y/1583083189846791/

[11] Sila rujuk Al-Anbiyaa’: 35, Al-Mulk: 2, Al-Anfaal: 17, At-Taubah: 49.

[12] Sila rujuk An-Nisaa’: 78-79.

[13] https://sunnah.com/abudawud:5075 . Walaupun hadith ini dihukumkan sebagai dhaif oleh sebahagian ulama, namun maknanya sahih dan diterima oleh ulama.

[14] Sila rujuk An-Nur: 55, Al-Anbiyaa’: 105-107.

[15] Sila rujuk Nuh: 10-14, Hud: 3 & 52, At-Tahrim: 8. Baca juga tafsir surah Yunus: 98, tentang kisah kaumnya yang bertaubat.

[16] Sila rujuk Al-Baqarah: 152, An-Nur: 55. Rujuk juga semua dzikir harian yang diajarkan oleh Nabi ﷺ.

[17] Sila rujuk Al-A’raaf: 96, Al-An’aam: 44, An-Nisaa’: 31, Ibrahim: 7.

[18] Sila rujuk Al-Anfaal: 24, Saba’: 11, Al-Ahzaab: 35.

[19] Sila rujuk At-Taubah: 119, Al-Kahfi: 32-46, Al-An’aam: 136-138, Al-Baqarah: 204-208.

[20] Sila rujuk Al-Baqarah: 38, An-Nahl: 43-44. Dan rujuk Al-Kahfi: 60-82 – lihat bagaimana Nabi Musa ‘AlaihisSalam mempelajari Taqdir Kauni (Taqdir Allah terhadap peraturan alam, rahmat dan musibah. Rujuk juga: https://sunnah.com/bukhari:3116, https://sunnah.com/bukhari:79.

[21] Sila rujuk https://sunnah.com/nawawi40:28, https://sunnah.com/muslim:1847b.

[22] Sila rujuk Al-Hujurat: 6, An-Nisa’: 83, Al-An’aam: 93, https://sunnah.com/riyadussalihin:1548, https://sunnah.com/bukhari:1291.

[23] Sila baca kitab yang sangat bernilai tinggi Al-Furqan Baina Auliyaa’ Ar-Rahman wa Auliyaa’ Asy-Syaitan (Pemisah Antara Wali Ar-Rahman Dan Wali Setan), oleh Imam Ibn Taimiyah rahimahullah.

[24] https://shamela.ws/book/37017/172.

[25] Lebih buruk lagi, dalam kepercayaan kaum Maya di Mexico zaman purba, nyawa manusia dijadikan korban dan dicampakkan ke dalam lubang besar yang penuh dengan air yang dalam “The Sacred Cenote”, untuk mencapai maksud dan melaksanakan tuntutan kepercayaan mereka. Sila rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Sacred_Cenote

Disediakan oleh: Ustaz Husny Jasin Amin Sahab