بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam masyarakat hari ini, akses kepada ilmu agama semakin luas. Kuliah boleh diikuti secara bersemuka atau dalam talian, kitab boleh dibaca dalam pelbagai bahasa, manakala nasihat dan perbahasan agama memenuhi media sosial setiap hari. Namun, peningkatan akses kepada ilmu tidak semestinya berjalan seiring dengan peningkatan akhlak. Kita masih berhadapan dengan budaya menghina, mudah menghukum, memperlekeh pandangan orang lain, menyebarkan aib dan bermusuhan.

Keadaan ini menimbulkan satu persoalan penting: jika ilmu semakin bertambah, mengapa akhlak sosial masih rapuh?

Ilmu Bukan Sekadar Maklumat

Dalam tradisi Islam, ilmu tidak pernah dimaksudkan sebagai himpunan fakta semata-mata. Ilmu sepatutnya membentuk cara seseorang berfikir, bercakap dan bertindak. Semakin seseorang mengenal Allah dan memahami agamanya, semakin dia sedar akan keterbatasan dirinya serta semakin berhati-hati dalam berinteraksi dengan manusia.

Sebab itu, ukuran keberhasilan menuntut ilmu bukan hanya pada banyaknya buku yang dibaca, guru yang diikuti atau istilah yang dikuasai. Antara tanda ilmu yang memberi kesan ialah lahirnya ketakwaan, sifat tawaduk, sabar, belas kasihan dan kemampuan menjaga lisan. Sungguh benar ungakapan Abū Ishāq Al-Ilbīriy:

فَرَأْسُ العِلْمِ تَقْوَى اللهِ حَقًّا   .   وَلَيْسَ بِأَنْ يُـقَالَ لَقَدْ رَأَسْتَ

Maka kemuncak ilmu itu ialah benar-benar bertakwa kepada Allah

Bukan sekadar seseorang itu dikatakan “kamu telah menjadi seorang tokoh”

 

Kemuncak ilmu bukanlah pada kedudukan, gelaran atau pengiktirafan manusia, tetapi pada sejauh mana ilmu itu menumbuhkan takwa kepada Allah. Seseorang mungkin memiliki pengetahuan yang luas dan petah berbicara tentang agama, tetapi jika ilmunya tidak menjadikannya lebih berhati-hati pada lisan, lebih lembut dalam pergaulan, lebih amanah dalam tindakan dan lebih mampu menundukkan ego, maka ilmu itu masih belum menampakkan buahnya yang sebenar.

Adab Ketika Berbeza Pendapat

Perbezaan pandangan bukan perkara asing dalam kehidupan umat Islam. Para ulama terdahulu juga berbeza pendapat dalam banyak persoalan. Namun, perbezaan ilmu tidak semestinya membawa kepada permusuhan.

Masalah bermula apabila kita gagal membezakan antara menolak pandangan dengan merendahkan orang yang berpandangan. Kita mungkin tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat, tetapi itu tidak memberi lesen untuk mencaci, mempermalukan atau menafikan kehormatan seseorang. Berkaitan perkara ini, sikap Al-Imām Al-Šāfiʿiy wajar direnungi. Beliau pernah berkata:

مَا كَـلَّمْتُ أَحَداً قَـطُّ إِلَّا أَحْبَبْتُ أَنْ يُـوَفَّـقَ وَيُسَدَّدَ وَيُعَانَ، وَيَكُونَ عَلَيْهِ رِعَايَـةٌ مِنَ اللهِ وَحِـفْـظٌ، وَمَـا كَـلَّـمْتُ أَحَداً قَـطُّ إِلَّا وَلَـمْ أُبَــالِ بَيَّنَ اللهُ الـحَـقَّ عَلَى لِسَانِي أَوْ لِسَانِهِ.

“Tidak pernah aku berbicara dengan seseorang melainkan aku berharap agar dia diberi taufik, dibimbing kepada kebenaran dan mendapat pertolongan, serta berada dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah. Dan tidak pernah aku berbicara dengan seseorang melainkan aku tidak peduli sama ada Allah menzahirkan kebenaran melalui lisanku atau lisannya.”

Inilah adab yang lahir daripada keikhlasan. Tujuan perbincangan bukan untuk memastikan aku menang, tetapi supaya kebenaran menang. Apabila yang dicari ialah reda Allah, kita tidak akan resah jika kebenaran akhirnya datang melalui orang lain.

Lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial, manusia mudah memberikan komentar ketika marah, berkongsi sesuatu sebelum memastikan kebenarannya, memperbesar kesilapan orang lain atau menjadikannya bahan hiburan. Kadangkala kita merasakan bahawa kerana apa yang kita sampaikan itu benar, maka apa sahaja cara menyampaikannya turut menjadi benar. Sedangkan tidak semua perkara yang benar mesti disampaikan dengan keras, dan tidak semua kesalahan perlu ditegur di ruang terbuka. Cara sesuatu kebenaran disampaikan juga sebahagian daripada amanah beragama.

Namun, pada sisi yang lain, sikap berlapang dada terhadap khilaf juga tidak seharusnya disalahertikan sehingga menjadikan seseorang sembarangan dalam urusan agama. Wujud perbezaan pandangan dalam sesuatu masalah tidak bermaksud semua pilihan boleh diambil sesuka hati mengikut apa yang paling mudah atau paling menepati kehendak diri. Khilaf bukan lesen untuk mencari jalan keluar daripada setiap tuntutan agama.

Oleh itu, apabila seseorang menegur kita dengan baik dalam perkara agama, jangan terlalu cepat membalas dengan cemuhan seperti, “tidak berlapang dada”, “terlalu rigid” atau “ini kan perkara khilaf”. Sebelum mempertahankan diri, barangkali kita perlu bertanya: adakah kita benar-benar berpegang kepada pandangan tersebut kerana yakin ia lebih hampir kepada kebenaran, atau kerana ia lebih mudah untuk diri kita?

Di sinilah takwa menjadi neraca. Bukan sahaja apa yang kita lakukan perlu benar, bahkan sebab kita melakukannya juga perlu benar. Ilmu mengajar kita mengenal hukum, dan takwa mengajar kita bagaimana berdiri di hadapan Allah ketika mengamalkan, mempertahankan dan menyampaikan hukum itu.

Mengharapkan Ganjaran Allah Dalam Berdakwah

Dalam kehidupan bermasyarakat, saling menasihati dan mengingatkan kepada kebaikan merupakan tanggungjawab bersama. Ia bukan tugas para ustaz, ustazah atau imam semata-mata. Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab menurut kemampuan dan kedudukannya, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang berada di bawah penjagaan dan tanggungannya seperti ahli keluarga, anak-anak dan orang yang dipimpinnya.

Namun, dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, kita perlu sentiasa ingat tujuan sebenar syariat. Matlamatnya bukan semata-mata supaya kebenaran telah “disampaikan”, lalu selesai tanggungjawab kita. Yang diharapkan ialah agar nasihat itu masuk ke hati, difahami, direnungi dan akhirnya membawa seseorang lebih dekat kepada Allah.

Sebab itu, cara penyampaian tidak boleh dipisahkan daripada tujuan dakwah. Kadangkala seseorang mempunyai hujah yang benar, tetapi memilih cara yang menyebabkan orang semakin jauh. Kebenaran yang disampaikan tanpa hikmah boleh gagal mencapai tujuan yang dikehendaki. Allah Taʿālā berfirman:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” (Al-Nahl: 125)

Maka seorang pendakwah bukan hanya perlu bertanya, “Adakah apa yang aku sampaikan itu benar?”, tetapi juga, “Adakah cara aku menyampaikannya membantu orang menerima kebenaran?”

As-Syeikh Ibn Bāz juga berulang kali menekankan bahawa zaman ini manusia memerlukan kelembutan, kesabaran dan cara dakwah yang baik, kerana kekasaran sering kali menyebabkan manusia menjauh daripada kebenaran, bukan mendekatinya. Dalam makna yang sangat jelas, beliau menegaskan bahawa seorang pendakwah perlu memilih ar-rifq, kelembutan, dan menjauhi kekerasan yang tidak perlu.

Hal ini lebih penting sekiranya seseorang dilihat oleh masyarakat sebagai seorang yang baru berhijrah, baru mendalami agama, aktif menghadiri majlis ilmu atau mula tampil dengan identiti keagamaan yang lebih jelas. Sama ada kita sedar atau tidak, orang di sekeliling mungkin mula melihat agama melalui akhlak dan tindak-tanduk kita.

Jangan sampai kerana cara kita menyampaikan kebenaran kurang bijaksana, keras, cepat menghukum atau tidak memahami keadaan orang lain, agama pula yang dinilai secara negatif. Kesalahan itu mungkin berpunca daripada kita, tetapi yang tercalar di mata masyarakat ialah gambaran mereka terhadap Islam.

Di sinilah pentingnya takwa dan keikhlasan dalam berdakwah. Seorang yang menasihati perlu sentiasa memeriksa niatnya:

Adakah aku benar-benar mahu orang ini kembali kepada Allah, atau aku sekadar mahu membuktikan bahawa aku betul?

Adakah aku mengharapkan pahala daripada Allah, atau mengharapkan pengiktirafan manusia?

Adakah aku sedih kerana kemungkaran itu berlaku, atau kerana nasihat aku tidak diterima?

Apabila ganjaran Allah menjadi tujuan utama, kita akan lebih sabar terhadap penolakan, lebih lembut ketika menasihati, dan tidak terlalu ghairah untuk memenangkan diri sendiri.

Pendakwah yang ikhlas tidak hanya mahu menyampaikan kebenaran; dia mahu manusia mencintai dan menerima kebenaran. Sebab itu dia menjaga bukan sahaja isi dakwahnya, tetapi juga cara, waktu, bahasa dan keadaan orang yang dinasihati.

Mengembalikan Hubungan Antara Ilmu dan Akhlak

Masyarakat yang matang tidak hanya memerlukan orang yang tahu banyak, tetapi manusia yang tahu bagaimana menggunakan ilmunya dengan hikmah.

Institusi pendidikan, masjid, keluarga dan para pendakwah perlu mengembalikan penekanan kepada pembinaan adab bersama penyampaian ilmu. Anak-anak dan pelajar bukan sahaja perlu diajar apa yang betul dan salah, tetapi bagaimana menegur kesalahan, bagaimana menghormati perbezaan, bagaimana mengawal kemarahan dan bagaimana menjaga maruah manusia.

Begitu juga dalam ruang digital. Sebelum menekan butang “hantar”, “komen” atau “kongsi”, kita perlu bertanya kepada diri: adakah tindakan ini benar-benar membawa manfaat, mendekatkan diri kepada Allah dan lahir daripada rasa takut serta sedar akan pengawasan-Nya, atau sekadar memenuhi dorongan emosi dan memenangkan ego sendiri? Di sinilah takwa menjadi neraca yang sangat penting. Seseorang mungkin mampu berbicara dengan hujah yang tepat, tetapi tanpa takwa, ilmu boleh berubah menjadi alat untuk meninggikan diri, merendahkan orang lain dan memenangkan pertelingkahan.

Al-Zarnuji rahimahullah, pada mukadimah kitab beliau yang masyhur, Taʿlīm al-Mutaʿallim Ṭarīq al-Taʿallum, pernah mengeluhkan keadaan para penuntut ilmu pada zamannya. Beliau melihat ramai yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, namun tidak memperoleh manfaat dan buah sebenar daripada ilmu tersebut. Menurut beliau, antara sebabnya ialah mereka tersalah jalan dalam menuntut ilmu dan meninggalkan syarat-syarat serta adab yang sepatutnya dijaga. Keluhan ini sangat relevan untuk kita renungkan hari ini: masalahnya bukan semata-mata sedikit atau banyaknya ilmu, tetapi sama ada ilmu itu dipandu oleh takwa, adab dan keikhlasan sehingga benar-benar membentuk jiwa.

Kata-kata beliau kemudiannya dinazmkan oleh Al-Syeikh Muhammad Al-Hasan Wald Ahmadū Al-H̱adīm Al-Mūrītāniy, antaranya:

لَـمَّـا رَأَى الطَّالِبَ لِلْعِلْمِ يَـجِـدّْ

وَالعِلْمَ أَوْ ثَـمَـرَةَ عِلْمٍ لَـمْ يَـجِـدْ

إِذْ كَانَ لَـمَّـا أَخْـطَـأَ الطَّــــرِيـــقَــاْ

وَتَــــرَكَ الشَّـــرْطَ بِــــذَا خَـــــلِــــيـــقَـــاْ

Tatkala beliau melihat para penuntut ilmu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, namun tidak memperoleh ilmu atau buah dan kesannya,

Maka hal itu disebabkan dia tersalah jalan dan meninggalkan syarat-syarat yang sepatutnya dipenuhi

Perhatikan bahawa persoalan utama bukanlah sekadar, “Adakah aku tahu perkara yang benar?” tetapi juga, “Apakah yang Allah lihat pada hatiku ketika aku menuntutnya dan menyampaikannya?” Adakah kerana ikhlas membimbing, atau kerana mahu dilihat lebih mengetahui? Adakah kerana kasih kepada kebenaran, atau kerana mahu mengalahkan orang lain? Takwa menjadikan seseorang sedar bahawa setiap perkataan, tulisan dan reaksi bukan sahaja dinilai oleh manusia, tetapi akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Pernah disebutkan Al-Hasan Al-Baṣriy:

كَانَ الرَّجُـلُ إِذَا طَلَبَ العِلْمَ لَـمْ يَلْبَثْ أَنْ يُرَى ذلِكَ فِي بَـصَرِهِ وَتَـخَشُّعِهِ وَلِسَانِهِ وَيَدِهِ وَصَلَاتِهِ وَزُهْدِهِ

“Apabila seseorang benar-benar menuntut ilmu, kesannya akan segara terlihat pada dirinya: pada pandangannya, kekhusyukannya, tutur lisannya, perbuatannya, solatnya dan kezuhudannya”.

 

Penutup

Ilmu yang benar sepatutnya membawa manusia lebih dekat kepada Allah dan pada masa yang sama menjadikannya lebih baik terhadap manusia.

Jika semakin banyak yang kita pelajari tetapi semakin kasar bahasa kita, semakin mudah kita menghukum dan semakin sukar kita menghormati orang lain, mungkin masalahnya bukan pada kekurangan ilmu, tetapi pada kegagalan ilmu itu meresap ke dalam jiwa.

Ummah tidak akan dibina dengan pengetahuan sahaja. Ia memerlukan ilmu yang dipandu adab, ketegasan yang disertai rahmah dan perbezaan yang diurus dengan kebijaksanaan.

Kerana akhirnya, keindahan agama bukan sahaja terlihat pada apa yang kita tahu, tetapi juga pada siapa diri kita setelah mengetahui.