
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj : Mukjizat Agung yang Sarat Pengajaran
Setiap peristiwa yang menjadi sebutan walaupun sudah bertahun-tahun lamanya kejadian itu, maka tidak dapat dinafikan betapa utama dan istimewanya peristiwa itu.
Begitulah di dalam agama Islam kita di mana Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa yang sangat agung dan penuh dengan pengajaran dan keajaiban yang tidak dapat ditandingi akal. Peristiwa ini membuktikan kebesaran Allah SWT dan juga penghormatan tinggi terhadap Nabi-Nya ﷺ.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj memaparkan salah satu mukjizat yang diberikan daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad ﷺ. Isra’ merujuk kepada perjalanan Nabi ﷺ daripada Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis manakala Mi’raj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa menuju ke langit.
Kisah Isra’ dan Mi’raj menunjukkan tanda kasih sayang Allah SWT terhadap Nabi-Nya. Ia merupakan satu hadiah yang agung selepas peristiwa-peristiwa dan cabaran yang dihadapi oleh Nabi ﷺ. Beliau kehilangan isteri kesayangannya, Khadijah, dan pakciknya, Abu Talib, di mana kedua-duanya merupakan pendukung utama dalam dakwah beliau.
Selain itu, Nabi ﷺ juga baru sahaja mengalami peristiwa yang sangat mencabar di Ta’if, di mana beliau diterima dengan penuh penghinaan dan kekerasan. Tidak cukup dengan itu, Nabi ﷺ dan umat Islam juga terpaksa menghadapi sekatan ekonomi (al-Hisar al-Iqtisadi) di mana mereka dipulau selama tiga tahun. Peniaga-peniaga enggan menjual barang kepada umat Islam, menyebabkan mereka dan keluarga mereka kelaparan. Dengan keadaan yang mencabar dan penuh dengan ujian ini, Allah SWT menghadiahkan Isra’ dan Mi’raj kepadaNya sebagai tanda kasih sayang dan kemuliaan.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj telah diabadikan di dalam Surah Al-Isra’ yang mana firman-Nya:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.[1]
Keajaiban dan kebesaran kuasa Allah SWT dalam peristiwa agung ini jelas dapat dilihat dari pemilihan perkataan yang menjadi permulaan surah dan ayat iaitu “Maha suci Allah”.
Membaca dan mempelajari tentang kisah Isra’ dan Mi’raj pasti menghadirkan rasa takjub dengan Nabi ﷺ. Akan tetapi Allah SWT menetapkan haknya dengan memulakan surah tersebut dengan “Maha suci Allah” untuk menandakan bahawa Dia yang memperjalankan hamba-Nya (Nabi ﷺ) dalam peristiwa tersebut. Ini juga menjadi bukti kekuasaan Allah SWT.
Tujuan ini bukanlah untuk merendahkan martabat Nabi ﷺ, tetapi untuk menegakkan hak Allah SWT yang sebenar. Allah SWT memiliki hak-Nya yang tidak boleh dipersamakan dengan hak Nabi ﷺ. Kita tidak salah untuk memuji beliau, namun kita perlu memastikan bahawa pujian tersebut tidak meletakkan Nabi ﷺ lebih utama daripada Al-Kabir, iaitu Allah SWT.
Islam merupakan agama yang sangat mementingkan tauhid sehingga Nabi ﷺ pesan apabila orang memuji beliau secara berlebih lebihan, beliau berkata :
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، سَمِعَ عُمَرَ ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ عَلَى الْمِنْبَرِ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ “ لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
“Dari Ibn Abbas RA, beliau mendengar Umar RA berkata di atas mimbar, ‘Saya mendengar Nabi ﷺ berkata: “Janganlah kamu berlebihan dalam memuji aku seperti mana yang dilakukan oleh orang Nasrani terhadap Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah, ‘Hamba Allah dan Rasul-Nya”.[2]
Antara pengajaran asas dan tema utama yang dapat dipelajari dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah kepentingan dan keutamaan solat bagi seorang hamba. Solat merupakan tiang agama yang harus setiap muslim mengambil berat dan menumpukan perhatian.
Pada asalnya, umat islam diwajibkan untuk mendirikan solat sebanyak 50 kali dalam sehari. Namun, dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, ia dikurangkan kepada 5 kali sehari tetapi dengan tetap mendapatkan pahala 50 solat tersebut. Ini menunjukkan rahmat Allah SWT kepada hambanya yang ingin mereka diberi kemudahan dengan pahala yang banyak. Nabi SAW sebut di dalam hadith:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ فُرِضَتْ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ الصَّلَوَاتُ خَمْسِينَ ثُمَّ نُقِصَتْ حَتَّى جُعِلَتْ خَمْسًا ثُمَّ نُودِيَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّهُ لاَ يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَىَّ وَإِنَّ لَكَ بِهَذِهِ الْخَمْسِ خَمْسِينَ
“Dari Anas bin Malik, beliau berkata: ‘Telah diwajibkan kepada Nabi ﷺ pada malam Isra’ dan Mi’raj untuk mengerjakan solat sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangkan sehingga menjadi lima kali, kemudian diseru: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya tidak ada yang dapat mengubah keputusan-Ku, dan bagi engkau dengan lima ini, akan dihitung sebagai lima puluh”.[3]
Umat Islam mungkin melihat solat sebagai beban atau kewajipan yang mengganggu rutin harian mereka. Namun, dalam realitinya, ia merupakan sumber ketenangan dan rehat rohani yang tiada tandingannya. Ia dapat mengeratkan hubungan dengan Allah SWT dan memberikan ketenangan dari perjuangan dan gangguan kehidupan duniawi.
Para Salafus Soleh menggapkan solat sebagai rehat bagi mereka dan ia dibuktikan dalam hadith nabi ﷺ:
عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ، قَالَ قَالَ رَجُلٌ – قَالَ مِسْعَرٌ أُرَاهُ مِنْ خُزَاعَةَ – لَيْتَنِي صَلَّيْتُ فَاسْتَرَحْتُ فَكَأَنَّهُمْ عَابُوا عَلَيْهِ ذَلِكَ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ “ يَا بِلاَلُ أَقِمِ الصَّلاَةَ أَرِحْنَا بِهَا”
Dari Salim bin Abi al-Jad, beliau berkata: ‘Seorang lelaki – yang saya rasa beliau adalah Mis’ar dari Khuzā’ah – berkata: “Alangkah baiknya jika aku dapat solat dan beristirahat.” Seakan-akan mereka mengkritik beliau atas kata-katanya itu, lalu beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Wahai Bilal, iqamahkan solat, berikan ketenangan kepada kami melalui solat tersebut.[4]
Nabi ﷺ juga menyatakan bahawa mendirikan solat merupakan ketenangan baginya di dalam hadith diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’i:
عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “حُبِّبَ إِلَىَّ مِنَ الدُّنْيَا النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلاَةِ ”
Diriwayatkan oleh Anas ibn Malik RA: Rasulullah ﷺ bersabda: “Di dunia ini, wanita dan wangi-wangian telah dijadikan perkara yang paling aku cintai, dan ketenanganku terletak pada solat”.[5]
Dengan ini, kita dapat melihat daripada sudut pandang yang lain bahwa solat merupakan “healing” terbaik dalam menghadapi dan menenangkan diri daripada semua masalah hidup dari segi jasmani dan rohani.
Di dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Nabi Muhammad ﷺ mengimamkan para nabi-nabi yang lain seperti Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan lain-lain. Dengan peristiwa itu, kita dapat mengenali dan mengeluarkan beberapa faedah untuk menunjukkan beberapa pentingnya amalan ibadah solat.
Faedah yang pertama adalah solat merupakan penghubung antara semua para nabi. Peristiwa di mana Nabi Muhammad ﷺ mengimamkan para nabi-nabi yang lain menunjukkan bahawa ibadah solat sudah wujud di zaman para nabi yang terdahulu. Amalan ini dipraktikkan oleh semua nabi dan merupakan penghubung antara umat Nabi Muhammad ﷺ dengan umat nabi-nabi sebelumnya.
Kedua, ia menunjukkan betapa agungnya kedudukan ibadah solat. Nabi Muhammad ﷺ menjadi imam kepada nabi-nabi sebelumnya menandakan satu simbol bahawa solat adalah amalan yang paling mulia dan harus diutamakan oleh setiap umat Islam.
Solat menjadi satu syiar dalam peristiwa ini di mana para nabi-nabi yang lain diimamkan oleh ketua mereka, Nabi Muhammad ﷺ. Setiap nabi merupakan ketua bagi kaum mereka dan Nabi Muhammad ﷺ merupakan ketua para nabi, menjadikan beliau sebagai teladan utama dalam pengamalan solat.
Ketiga pula, ia menunjukkan bahawa peristiwa ini mengisyaratkan bahawa solat adalah satu amalan yang menyatukan umat Islam dan umat nabi-nabi sebelumnya. Walaupun nabi-nabi tersebut hidup pada zaman yang berlainan, mereka semua disatukan dalam amalan solat yang sama.
Peristiwa solat di Masjid Al-Aqsa menunjukkan bahawa solat adalah satu amalan yang menghubungkan seluruh umat Islam, tidak kira latar belakang, bangsa, atau zaman. Ia adalah simbol penyatuan umat dalam penghambaan kepada Allah SWT.
Secara keseluruhan, Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa spiritual yang memperkukuhkan keimanan umat Islam, mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT, serta menegaskan kedudukan solat sebagai ibadah yang sangat mulia dan penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Sebagai simpulan, kisah Isra’ dan Mi’raj mengingatkan kita akan kewajiban untuk menegakkan ibadah, khususnya solat, yang merupakan tanda hubungan erat antara hamba dan Tuhan. Selain itu, peristiwa ini juga menegaskan pentingnya menjaga keseimbangan antara memuji Nabi ﷺ dengan tetap mengutamakan hak Allah SWT dalam segala hal.
Wallahua’lam.
[1] Surah Al Isra’ ayat 1
[2] Sahih Al-Bukhari (3445)
[3] Jami` At-Tirmidhi (213)
[4] Sunan Abi Dawud (4985)
[5] Sunan An-Nasa’i (3939)