Hikmah dan Etika Hari Raya Aidilfitri

Hikmah dan Etika Hari Raya Aidilfitri

Kembali kepada Fitrah: Hikmah dan Etika Hari Raya Aidilfitri

Fitrah. Itulah keadaan yang dilalui setiap insan ketika dilahirkan di dunia yang fana ini. Keadaan suci yang diberikan Allah Sang Pencipta kepada sang insan. Permulaan sebuah buku catatan yang akan diisi oleh Malaikat yang di kanan dan di kiri. Yang akan dihisab suatu hari nanti di kala semua menanti, apakah penghujung nasib diri sendiri? Adakah Syurga yang diidami ataukah Neraka yang ditakuti? Semuanya terjadi atas Hikmah dan Kebijaksanaan Ilahi. 

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلاَّ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ، كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ، هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ ‏”‏ ثُمَّ يَقُولُ ‏{‏فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لاَ تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ‏}‏

 Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah setiap anak kecuali dia dilahirkan di atas fitrah, maka bapa dan ibunyalah yang menjadikan dia Yahudi, atau menjadikan dia Nasrani, atau menjadikan dia Majusi. Sebagaimana halnya haiwan ternak yang dilahirkan, ia dilahirkan dalam keadaan sihat. Apakah Engkau lihat haiwan itu terputus telinganya?” Kemudian baginda membacakan : ‘(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’ “ [1]

(30:30)

Begitulah juga apabila disebutkan tentang Eid al-Fitr, atau lebih dikenali dengan Aidilfitri. Eid atau perayaan di bulan Syawal ini salah satu dari dua perayaan yang disyariatkan dalam Islam.

Setelah tempoh sebulan Ramadan menjalani ibadah puasa, bermujahadah dalam menahan dan melawan nafsu dari segala yang dilarang, juga mengejar pahala yang berlipat kali ganda dengan ibadah tambahan yang khusus dan umum, seorang Muslim yang melakukan semua itu (dengan Ikhlas dan mengikuti Sunnah Nabi SAW) boleh diibaratkan sebagai seorang yang sekali lagi kembali ke Fitrahnya. Fitrah seperti di awal kewujudannya, di kala dia bersih dari segala dosa dan noda.

Hikmah Hari Raya Aidilfitri

Di akhir ayat-ayat yang disebutkan tentang Ramadan, Allah SWT berfirman: 

وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“…Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”    

(Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Kita dapat ambil faedah sini bahawa amalan bertakbir di Hari Raya terkait dengan kesyukuran. Kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi kita petunjuk dan hidayah untuk melalui Ramadan, melaksanakan segala ibadah, menahan nafsu dan memperbaiki perilaku. Kesemua itu nikmat Allah beri. Maka banyakkanlah bersyukur di Hari Aidilfitri dan keraplah beri peringatan kepada diri untuk mensyukuri. Kerana jikalau tidak mensyukuri, kita boleh terjatuh dalam mengkufuri nikmat yang diberi. Tetapi, malah dengan mensyukuri, akan ditambah lagi nikmat berlipat kali. Itu janji Ilahi.

Selain mensyukuri Allah, kita juga perlu untuk mensyukuri dan berterima kasih sesama manusia.

 وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرِ اللَّهَ» . رَوَاهُ أَحْمَدُ وَالتِّرْمِذِيُّ

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: “’Orang yang tidak berterimakasih kepada orang (lain) berarti ia tidak bersyukur kepada Allah’[2]

 Sememangnya seorang Muslim sangat patut untuk mensyukuri atau berterima kasih dengan sesama manusia yang melakukan kebaikan terhadapnya. Khususnya yang paling dekat dan akrab hubungan dengannya dari kalangan keluarga dan sanak saudara. Tidak dilupakan juga teman-temannya, jiran sekeliling dan masyarakat secara amnya. Di Hari Aidilfitri, zahirkanlah kesyukuran kita dengan manusia sekeliling dengan berbuat baik kepada mereka, memberi ucapan kebaikan, menghadiahkan dari apa yang dimampui dan sekurang-kurangnya mendoakan mereka. 

Dengan ini, kita dapat mempererat Silaturahim di kalangan kerabat kita dan juga mengukuhkan hubungan di kalangan Umat Islam secara keseluruhannya. Ditambah dengan itu juga, kita memperlihatkan dan menzahirkan sisi kebaikan dan ihsan seorang Muslim terhadap masyarakat bukan Islam di sekelilingnya. Semoga dengan itu semua imej Islam dan masyarakat Muslim terlihat indah dan saksama.

 Adab dan Etika Menyambut Aidilfitri

Di kala kita memasuki bulan Syawal dan mula menyambut Aidilfitri selepas hari terakhir di bulan Ramadan, banyakkanlah bertakbir dan bertahmid. Membesarkan Allah dan memujiNya sebagai tanda Syukur terhadapNya.

 أَبَا عُبَيْدٍ قَالَ, شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ فَبَدَأَ بِالصَّلَاةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ هَذَيْنِ الْيَوْمَيْنِ أَمَّا يَوْمُ الْفِطْرِ فَفِطْرُكُمْ مِنْ صَوْمِكُمْ وَأَمَّا يَوْمُ الْأَضْحَى فَكُلُوا مِنْ لَحْمِ نُسُكِكُمْ‏.‏

Abu ‘Ubaid berkata: “Saya menghadiri solat ‘Eid bersama ‘Umar. Beliau menunaikan solat sebelum menyampaikan khutbah. Kemudian beliau berkata: Rasulullah SAW telah melarang berpuasa pada dua hari ini. Adapun pada hari ‘Eid al-Adha, kamu makan daging daripada haiwan korbanmu.”[3]

 Di pagi Aidilfitri, sebelum keluar untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, hiasilah diri dengan pakaian bersih dan terbaik. Pastikanlah ia sesuai dengan Syariat Islam. Di antara Sunnah Nabi SAW ialah untuk makan sesuatu sebelum keluar, sebagai tanda tidak lagi berpuasa.

Setelah siap semuanya, keluarlah untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama kaum Muslimin yang lainnya kemudian duduklah mendengarkan Khutbah di akhirnya.

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ قَالَ, حَضَرْتُ الْعِيدَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَصَلَّى بِنَا الْعِيدَ ثُمَّ قَالَ ‏ “‏ قَدْ قَضَيْنَا الصَّلاَةَ. فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ. وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ ‏”‏

Dari Abdullah bin As-Saib : “Aku menghadiri solat Hari Raya bersama Rasulullah SAW, lalu Beliau mengimami kami solat Hari Raya, kemudian Beliau bersabda : Kita telah selesai mengerjakan solat ‘Eid, maka siapa yang lebih senang untuk duduk mendengarkan khutbah maka silahkan dia duduk. Dan siapa yang lebih senang untuk pulang, silahkan dia pulang”.[4]

Di kala melalui musim perayaan dengan adat dan kebiasaan masyarakat setempat, pastikan batas Syariat Islam tetap terjaga. Antaranya, melaksanakan solat wajib pada waktunya, mengamalkan kesederhanaan dalam menyediakan hidangan dan juga hiasan rumah, mengelakkan pembaziran, menjaga batas pergaulan dalam keramaian dan menjauhi segala perkara maksiat.

Adakah sama kita di dalam Ramadan dan selepasnya?

Di tengah kegembiraan yang dirasakan di Aidilfitri, janganlah sampai prestasi dan pencapaian kita pada bulan Ramadan pergi begitu sahaja dengan mudahnya. Kekalkanlah semangat dan kebiasaan kita dalam kemanisan dan keindahan beribadah. Begitu juga kekuatan dan kentalnya jiwa menahan dan mengatasi keinginan nafsu, peliharalah ia dan genggamlah seeratnya. Walaupun bulan Ramadan dan selainnya memang tiada tandingnya, janganlah kita tinggalkan kesemuanya.

Berjuanglah dan teruskanlah hidup dalam ketaatan dengan sekuat kemampuan. Berdoalah dan berharaplah agar diterima segala amalan. Semoga direzkikan bertemu Ramadan tahun depan. Ataupun dikurniakan sebaik-baik pengakhiran.

[1] Sahih Al-Bukhari (4775)

[2] Ahmad & At-Tirmidhi | Mishkat Al-Masabih (3025)

[3] Musnad Ahmad 163 

[4] Sunan Ibn Majah (1290)