Merasa Sudah Baik: Ketika Ilmu Tidak Lagi Menundukkan Hati

Merasa Sudah Baik: Ketika Ilmu Tidak Lagi Menundukkan Hati

Tidak semua penyakit hati disebabkan maksiat yang kita lakukan. Kadangkala penyakit boleh datang dari jalan yang sangat halus sehinggakan menyebabkan diri merasa sudah baik. Ia tidak akan menghalang seseorang daripada beribadah, malah menggalakkan untuk kita beramal dengan ilmu yang ada. Namun, di sebalik kesungguhan itu, hati akan secara perlahan kehilangan rasa takut kepada Allah.

Bagaimana ianya boleh terjadi?

Penyakit ini adalah apabila seseorang merasa sangat tenang dengan dirinya, selesa dengan amalnya, dan jarang mempersoalkan penerimaan amal ibadah di sisi Allah s.w.t. Sedangkan Allah swt telah mengingatkan:

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى

“Maka janganlah kamu menyucikan diri kamu; Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertakwa.”
(Surah an-Najm: 32)

Beramal dengan ilmu adalah satu kewajipan, akan tetapi hakikat ilmu itu perlu dijaga agar ianya tidak menjadi satu sebab yang membawa kita kepada kesombongan diri dan lalai terhadap Allah. Kita boleh beramal, akan tetapi Allah yang menilai.

Ilmu tidak semestinya melahirkan ketundukan

Ketahuilah, tidak semua ilmu dapat melahirkan ketakwaan. Ada ilmu yang hanya sekadar maklumat, dan tidak turun ke hati dan jiwa seorang insan. Apabila ilmu tidak disertai dengan khauf, iaitu takut kepada Allah, ia boleh berubah menjadi sebab untuk merasa lebih benar, lebih faham dan lebih selamat.

Hakikatnya, Allah menetapkan ukuran ilmu bukan pada keluasan bicara, akan tetapi pada kesan terhadap hati:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah para ulama.”
(Surah Fāṭir: 28)

Jika ilmu seseorang bertambah, akan tetapi ketundukannya, dan sifat takutnya tidak memberi kesan, maka yang meningkat hanyalah sekadar maklumat, bukanlah ilmu dan hidayah.

Ilmu sebenar melahirkan rasa takut kepada Allah, bukan keyakinan diri

Ilmu itu tidak melahirkan keyakinan yang tinggi terhadap diri seseorang. Sebaliknya, semakin tinggi ilmu tersebut, semakin besar rasa takutnya kepada Allah.

Hasan al-Basri rahimahullah berkata:

“Seorang mukmin menghimpunkan antara berbuat baik dan rasa takut, sedangkan orang munafik menghimpunkan antara berbuat buruk dan rasa aman.”

Sufyan ath-Thawri rahimahullah pula pernah berkata:

“Aku tidak pernah melakukan satu amalan melainkan aku lebih takut ia ditolak berbanding diterima.”

Bagi ulama salaf kita, satu amalan itu bukanlah satu jaminan untuk mereka, tetapi satu kerisauan yang ditakuti jika amal yang dilakukan itu tidak ikhlas dan tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Apakah yang membuat kita jika dibandingkan dengan mereka, untuk merasa yakin dan tidak tunduk kepada Allah s.w.t?

Tanda-tanda jika ilmu tidak lagi menundukkan hati

Waspadalah dengan penyakit hati seperti ini, iaitu apabila diri merasa sudah baik, hati terasa begitu yakin sehinggakan terlupa yang Allah sahaja yang mempunya hak untuk menerima amalan seseorang itu atau sebaliknya.

Dan penyakit seperti ini jarang diakui oleh manusia, dan susah untuk diri sendiri mengenal pasti. Akan tetapi, ianya boleh dikesan melalui tanda-tanda berikut:

  • Merasa aman daripada azab Allah s.w.t
  • Jarang bermuhasabah diri sendiri, tetapi cepat mengkritik orang lain
  • Amalan bertambah, namun sifat tawaduk, rendah diri tidak ada sebarang kesan
  • Perhatian lebih kepada penampilan diri agar nampak sebagai seorang yang berilmu, akan tetapi tidak ada masa untuk memperbaiki hati

Allah memberi amaran yang tegas:

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

“Tidak ada yang merasa aman daripada makar Allah kecuali kaum yang rugi.”
(Surah al-A‘rāf: 99)

Dari sini kita dapati bahawa, salah satu tanda kerugian bagi seseorang, dan jiwa rohaninya adalah apabia kita merasa aman dengan diri sendiri terhadap Allah s.w.t.

Ilmu adalah cerminan jiwa

Ilmu yang hakiki dapat menyingkap keadaan hati. Semakin jujur seseorang dengan ilmunya, semakin jelas kelemahan dirinya.

Imam Malik rahimahullah berkata:

“Ilmu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang Allah letakkan di dalam hati.”

Ilmu yang benar menjadikan seseorang semakin lama merasa kecil, bukan sebaliknya semakin lama merasa yakin dan sombong dengan diri. Jika kita perhatikan kalam Imam Syafie rahimahullah, beliau menggambarkan perjalanan menuntut ilmu sebagai satu proses yang akhirnya membawa seseorang kepada kesedaran tentang kejahilan dirinya sendiri. Semakin seseorang itu mendalami ilmu, semakin jelas baginya betapa luasnya ilmu yang belum lagi diketahui, sehingga rasa yakin terhadap diri semakin berkurang dan digantikan dengan tawaduk serta berhati-hati dalam amal ibadah.

Sepertimana yang dinukilkan, beliau berkata:

كُلَّمَا ازْدَدْتُ عِلْمًا، ازْدَدْتُ عِلْمًا بِجَهْلِ

 “Setiap kali aku bertambah ilmu, semakin aku mengetahui betapa jahilnya diriku,”

Suatu ungkapan yang menunjukkan bahawa ilmu itu bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk menundukkan hati, memperbanyakkan muhasabah, dan menumbuhkan rasa fakir serta bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t, kerana di atas setiap orang yang berilmu itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.

Allah s.w.t berfirman:

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

“Dan di atas setiap orang yang berilmu, ada lagi Yang Maha Mengetahui.”
(Surah Yusuf: 76)

Sedangkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w juga berdoa untuk ditambahkan ilmu baginya disebalik beliau merupakan manusia yang paling sempurna yang berjalan di atas muka bumi ini.

Rasulullah s.a.w berdoa:

اللَّهُمَّ زِدْنِي عِلْمًا

(Surah Ṭāhā: 114)

Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak pernah merasa cukup dengan ilmunya, apatah lagi manusia biasa seperti kita.

Kita lihat bagaimana Al-Qur’an menggambarkan orang-orang yang beriman sebagai mereka yang takut walaupun dalam kondisi sedang beramal:

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوا وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan, sedangkan hati mereka takut.”
(Surah al-Mu’minūn: 60)

Apabila Aisyah r.a bertanya akan maksud ayat di atas, Rasulullah s.a.w menjelaskan:

“Mereka adalah orang yang solat, puasa dan bersedekah, tetapi mereka takut amal mereka tidak diterima.”
(Riwayat at-Tirmizi)

Persiapan Ramadan: Kembali Merendah di Hadapan Allah

Dengan Ramadan yang semakin hampir, marilah sama-sama kita kembali untuk merenung asal ciptaan kita, iaitu dari tanah, agar kita ketahui, sejauh mana kita pergi, setinggi mana ilmu yang kita perolehi, jika kita tidak merendahkan diri di hadapan Allah, malah merasa yakin dan baik terhadap diri sendiri, tidak merasakan ketakutan kepada Allah s.w.t, maka ketahuilah, satu hari nanti kita akan kembali ke tempat asal kita dan ilmu yang diperolehi tidak akan ada makna apa-apa.

Ingat, Ramadan bukan untuk mereka yang merasa sudah cukup, tetapi untuk mereka yang sedar kekurangan diri. Ia bukan bulan untuk menunjuk amal, tetapi bulan untuk kembali merendah dan bergantung sepenuhnya kepada rahmat Allah s.w.t.

Para ulama salaf ada berdoa:

اللَّهُمَّ لَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Ya Allah, jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau sekelip mata.”

Inilah doa seseorang yang tahu betapa lemahnya diri jika tiada pertolongan Allah s.w.t. Pastikan, jika kita memperoleh ilmu, dengan ilmu tersebut, dapat:

  • Menundukkan hati dihadapan Allah s.w.t
  • Sentiasa muhasabah diri sendiri
  • Menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah s.w.t

Semoga Ramadan tahun ini tidak disambut dengan merasakan diri sudah baik, tetapi dengan hati dan jiwa yang mengharapkan rahmat Allah s.w.t.

Disediakan oleh: Ustaz Norhakim Ibn Siddiq

Cahaya Akhlak Nabi ﷺ

Cahaya Akhlak Nabi ﷺ

Allah s.w.t mengutus seorang rasul yang bernama Muhammad sebagai panduan bagi kami. Hadirnya baginda s.a.w adalah sebagai pelengkap akhlak manusia seperti yang disabdakan di dalam hadith:

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ صَالِحَ اْلأَخْلاَقِ

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”
[Riwayat Al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad]

Allah s.w.t juga menyatakan akan tingginya akhlak baginda s.a.w seperti yang difirmankan di dalam Al-Quran:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
[Al-Qalam: 4]

Untuk mengenali dan mengikuti Rasulullah s.a.w, dari segi perkataannya, perbuatannya dan akhlaknya, kita terlebih dahulu harus mengetahui cara kehidupannya dan bagaimana hubungan beliau dengan Allah s.w.t dan interaksi beliau dengan manusia. Kami akan dapati bahawa peribadi Rasulullah s.a.w adalah satu perkara yang sangat tinggi dan agung. Lebih kita mengenali, lebih kita akan mencintainya.

Tatkala membicarakan tentang akhlak Rasulullah s.a.w, beliau bukan sahaja berakhlak mulia terhadap manusia, akan tetapi yang lebih indah, bagaimana beliau membawa dirinya dengan penuh kerendahan diri dan hati. Oleh kerana itu Allah s.w.t berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”
[Al-Ahzaab:21]

Lihat bagaimana beliau mensyukuri akan kehidupannya yang dilimpahkan dengan pelbagai nikmat, dalam keadaan dosa yang telah diampunkan oleh Allah s.w.t, beliau tetap mendirikan solat sampai kedua kakinya bengkak, sehingga pernah ditanyakan kepada beliau s.a.w:

يَا رَسُوْلَ اللهِ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ

“Wahai Rasulullah! Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang!”

قَالَ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Beliau s.a.w dengan ringan menjawab, “Apakah aku tidak mahu menjadi hamba yang bersyukur?!”
[Riwayat Muslim]

Bukan itu sahaja, malah beliau meminta ampun kepada Allah s.w.t setiap hari seperti yang disabdakan oleh baginda s.a.w:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

“Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar, memohon ampun kepada Allah s.w.t lebih dari 70 kali dalam sehari” [Riwayat Al-Bukhari]

Subhanallah, seorang insan yang dijanjikan syurga, seorang insan yang ma’sum (dibebaskan dari segala dosa), dengan penuh kehambaan dan kerendahan hati, tetap memohon keampunan dari Allah s.w.t. Di mana kita? Insan yang diselimuti dengan dosa dan kekurangan. Adakah kita melebihi baginda s.a.w dalam beristighfar? Atau sebaliknya?

Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w melayani manusia, walaupun seseorang itu berlaku kasar dengan beliau. Satu kisah berkenaan orang badui yang menarik selendang baginda s.a.w dengan keras sehingga terdapat bekas kerana kerasnya tarikan tersebut. Lalu orang badui itu mengatakan kepada baginda s.a.w:

يَا مُحَمَّدُ، مُر لِي مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِي عِنْدَكَ

“Wahai Muhammad! Perintahkanlah agar aku diberikan harta Allah yang ada padamu!”

Apa yang baginda s.a.w lakukan?

فَالتَفَتَ إِلَيْهِ، فَضَحِكَ ثُمَّ أَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ

“Beliau lalu menoleh padanya dan tersenyum, kemudian beliau memerintahkan untuk memberinya pemberian.”
[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya kami, ummah akhir zaman, dengan pelbagai fitnah syahwat dan syubhat, sangat mudah untuk terpengaruh dengan budaya-budaya barat sehingga kadangkala tergadai akhlak dan jati diri sebagai seorang muslim dan mukmin. Peribadi yang ditampilkan hanya baik dihadapan mata manusia, tapi sedikit pun tidak dihadapan mata Allah saat berada di kediaman atau secara sendirian Adalah satu perkara yang amat bahaya.

Lihat bagaimana orang-orang yang dicintai oleh baginda s.a.w, yang selalu dengan baginda s.a.w menyifatkan akhlak dan budi pekerti baginda s.a.w. Sungguh inilah akhlak sebenar  yang harus kita menjadikan satu pedoman dan tauladan.

Seorang sahabat nabi s.a.w menanyakan “Bagaimana isteri baginda s.a.w, Aishah r.a, menyifatkan akhlak baginda s.a.w saat ditanya oleh para sahabat?:

يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، أَنْبِئِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Wahai Ummul Mu’minin, ceritakan kepadaku tentang akhlak Nabi s.a.w.”

 قَالَتْ: أَلَسْتَ تَقْرَأُ الْقُرْآنَ؟

“Dia berkata: ‘Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?’”

 قُلْتُ: بَلَى

Dia berkata: “Ya”

 قَالَتْ: فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ الْقُرْآنَ

“Dia berkata: ‘Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w itu adalah Al-Qur’an.’”
[Riwayat Muslim]

Lihat pula bagaimana Rasulullah s.a.w melayani pembantu beliau, Anas r.a, tidak merendahkannya walaupun sekali.

خدمتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم عشرَ سنينَ ، فما قال لي أُفٍّ قطُّ ، وما قال لي لشيٍء لِمَ أفعلْهُ : ألا كنتَ فعلتَه ؟

“Aku telah berkhidmat kepada Nabi s.a.w selama sepuluh tahun. Baginda tidak pernah berkata kepadaku, ‘uff’ (ungkapan kecil yang menunjukkan rasa tak berapa nak bantu), dan Baginda tidak pernah menyalahkanku dengan berkata, ‘Mengapa kamu lakukan begitu?’ atau ‘Mengapa kamu tidak lakukan begitu?’” [Riwayat Al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad]

Sungguhnya, akhlak yang baik meninggikan darjat seseorang di hadapan mata manusia juga di mata Allah s.w.t:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيُدْرِكُ بِحُسْنِ خُلُقِهِ دَرَجَةَ الصَّائِمِ الْقَائِمِ.

“Sesungguhnya seorang Mukmin dengan akhlaknya yang baik, akan mencapai derajat orang yang puasa di siang hari dan solat di tengah malam.”
[Riwayat Abu Dawood]

Semoga ini sedikit sebanyak memandu kita untuk lebih kenali Nabi Muhammad s.a.w, dan bersemangat untuk tiru setiap daripada pergerakkan beliau s.a.w.

Raih Cinta Allah, Amal Sunnah Nabi

Raih Cinta Allah, Amal Sunnah Nabi


Bulan Rabiul Awal adalah salah satu bulan yang mana umat Islam bergema dalam menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad ﷺ, seorang utusan Allah yang membawa cahaya petunjuk dalam kegelapan.
Rabiul Awal bukanlah sekadar salah satu nama bulan-bulan islam di dalam kalender, akan tetapi ia merupakan sebuah kesempatan bagi kita untuk meneladani sunnah-sunnah Rasulullah SAW dan memperbaharui komitmen kita dalam mengamalkan sunnahnya.
Dengan melangkah ke dalam bulan ini, kita dapat meraih keberkatan dan kasih sayang Allah SWT, serta merefleksikan diri kita sebagai umat yang benar-benar mengikut jejak langkah junjungan besar kita, Nabi Muhammad ﷺ.

Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللّٰهَ فَاتَّبِعُوْنِي يُحْبِبْكُمُ اللّٰهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ ۗ وَاللّٰهُ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ
Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Di sini ada beberapa sunnah yang boleh kita amalkan sebagai bukti cinta kita kepada Nabi Muhammad ﷺ.

1) Sentiasa bersyukur dengan beramal soleh
Nikmat kehidupan yang Allah SWT berikan merupakan satu pinjaman yang kelak akan dikembalikan. Betapa lalainya sifat manusia ini sehinggakan nikmat tersebut digunakan atas kemaksiatan dan bukan ketaatan kepada Allah SWT.
Diceritakan oleh Ibunda ‘Aisyah RA:

كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ إذَا صلَّى، قامَ حتَّى تفطَّرَ رجلَاه. قالتْ عائشةُ: يَا رسولَ اللهِ! أتصنعُ هذَا، وقدْ غُفِرَ لكَ مَا تقدَّمَ مِنْ ذنبِكَ ومَا تأخَّرَ؟ فقالَ:” يَا عائشةُ! أفلَا أكونُ عبدًا شكورًا.
“Rasulullah SAW biasanya jika beliau solat, beliau berdiri sangat lama hingga kakinya mengeras kulitnya. Aisyah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau sampai demikian? Bukankan dosa-dosamu telah diampuni, baik yang telah lalu mahupun yang akan datang? Rasulullah besabda: ‘Wahai Aisyah, bukankah semestinya aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Nabi Muhammad SAW juga tidak lepas dari beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT:
Rasulullah ﷺ bersabda,

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
“Demi Allah. Sungguh aku selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.”

Baginda ﷺ juga bersabda,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
“Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristighfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.”

Melihat dari hadis ini, insan yang telah diampunkan oleh Allah SWT segala dosanya, tetap beramal soleh dan bertaubat seolah-olah dirinya penuh dengan dosa. Ketahuilah, sesungguhnya kesyukuran itu adalah salah satu sifat baginda ﷺ yang harus kita ikuti dan menjadikan tauladan.

2) Berakhlak mulia pada setiap waktu
Perutusan Nabi Muhammad ﷺ kepada umatnya bukan sekadar dalam menyampaikan dakwah agama Islam semata-mata, namun untuk menyempurnakan akhlak dan adab manusia, juga sesuai dengan jalan syariat.

Rasulullah ﷺ bersabda,

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku hanyalah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang luhur.”

Kesempurnaan iman orang yang beriman itu juga dinilai daripada akhlaknya, seperti mana yang disabdakan oleh baginda ﷺ:

أَكْمَلُ الـمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya”

Kita lihat bagaimana akhlak baginda SAW, tidaklah layanan yang baik itu diberikan baginda kepada pembesar mahupun orang yang ternama sahaja, akan tetapi diceritakan sendiri oleh pembantu beliau, Anas Bin Malik RA:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: خَدَمْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ فَمَا قَالَ لِي أُفٍّ قَطُّ، وَمَا قَالَ لِشَيْءٍ صَنَعْتُهُ لِمَ صَنَعْتَهُ، وَلَا لِشَيْءٍ تَرَكْتُهُ لِمَ تَرَكْتَهُ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ خُلُقًا
Dari Anas ia berkata; “Aku telah menjadi khadim (pembantu) Nabi SAW selama sepuluh tahun, namun selama itu beliau belum pernah berkata `Uff (ah..) kepadaku sekalipun. Juga tidak pernah menanyakan mengenai sesuatu yang aku lakukan kenapa aku melakukannya, dan tidak pula terhadap sesuatu yang aku tinggalkan, kenapa aku meninggalkannya. Rasulullah SAW adalah manusia yang paling baik akhlaknya”

Akhlak Rasulullah ﷺ merupakan satu sunnah yang sangat terpuji di mana setiap manusia harus mencontohinya, baik berakhlak dengan manusia, mahupun dengan dirinya sendiri.
3) Berkata dengan yang baik
Ramai yang terjerumus ke dalam api neraka Allah SWT kerana lisannya, ucapan yang diucap tanpa berfikir akan kebaikan mahupun keburukannya. Sama ada diucapkan dalam keadaan yang marah mahupun dalam keadaan yang bergurau.

Diriwayatkan dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda,

إِنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ، مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا، يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الـمَشْرِقِ وَالـمَغْرِبِ
“Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan kalimat tanpa dipikirkan terlebih dahulu, dan kerananya dia terlempar ke neraka sejauh antara jarak ke timur dan barat.”

Juga diriwayatkan dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda,

وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ، لَا يُلْقِي لَهَا بَالاً، يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ.
“Boleh jadi seseorang mengatakan satu kalimat yang dimurkai Allah, suatu kalimat yang menurutnya tidak apa-apa. Akan tetapi, dengan sebab kalimat itu dia jatuh ke neraka.”

Oleh kerana itu, ketahuilah bahawa setiap ucapan kita diambil kira oleh Allah SWT, betapa banyak yang terjerumus ke dalam lembah neraka akibat ucapan yang tidak diredhai-Nya. Nabi Muhammad SAW juga telah memberikan peringatan untuk kita berjaga-jaga akannya,

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمَلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا نَبِيَّ اللهِ، فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا. فَقُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللهِ، وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُوْنَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا مُعَاذُ، وَهَلْ يُكَبُّ النَّاسُ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟
“Mahukah aku beritahu tentang sesuatu yang boleh menguatkan semua itu?” Aku menjawab: ‘Tentu, wahai Nabi Allah.’ Maka Beliau ﷺ memegang lisannya (lidahnya) dan bersabda: “Tahanlah (jagalah) ini!” Aku bertanya:”Wahai Nabi Allah, apakah kita akan diseksa disebabkan apa yang kita ucapkan?” Beliau SAW bersabda: “Alangkah sedihnya ibumu kehilanganmu wahai Muadz, bukankah manusia itu dilemparkan ke dalam neraka dengan wajah tersungkur tidak lain disebabkan hasil apa yang mereka peroleh dari lisan-lisan mereka?”

Maka ikutilah sunnahnya baginda ﷺ untuk bercakap mengenai sesuatu perkara yang hanya akan membawa kepada manfaat dan juga apabila diperlukan sahaja, jika tidak, maka lebih baik untuk kita diam sebagai tanda kita beriman kepada Allah SWT.

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”

4) Perbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW
Banyak berselawat kepada Rasulullah ﷺ merupakan tanda cinta seseorang kepada beliau. Ini ditegaskan oleh para ulama yang mengatakan: “Barangsiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”

Allah SWT sendiri telah memerintahkan kita untuk beselawat melalui firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselewatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Ibnu Kasir rahimahullah menyatakan maksud ayat,

أنَّ اللهَ سبحانَهُ أخبرَ عبادَهُ بمنزلةِ عبدِهِ ونبيِّهِ عندَهُ في الملأِ الأعلَى، بأنَّهُ يثنِي عليهِ عندَ الملائكةِ المقربينَ، وأنَّ الملائكةَ تصلِي عليهِ. ثمَّ أمرَ تعالَى أهلَ العالمِ السفلِيّ بالصلاةِ والتسليمِ عليهِ، ليجتمعَ الثناءُ عليهِ منْ أهلِ العالمينَ العلوِيّ والسفليّ جميعًا.
“Sesungguhnya Allah SWT mengabarkan pada hamba-Nya mengenai kedudukan Nabi Muhamamd sebagai hamba dan Nabi Allah di tempat yang tertinggi. Malaikat terdekat akan terus menyanjung beliau. Para malaikat juga mendoakan beliau SAW. Begitu pula Allah SWT memerintahkan pada makhluk yang berada di bumi untuk mengucapkan selawat dan salam pada beliau SAW. Jadinya, makhluk di langit dan di bumi semuanya menyanjung beliau ﷺ.”

Sehinggakan orang yang tidak mahu berselawat dan enggan untuk berselawat tatkala mendengar nama beliau disebutkan khususnya, dikatakan sebagai orang yang bakhil.

Dari Ali bin Abi Thalib, dari Rasulullah ﷺ bersabda:

البَخِيلُ كُلَّ البُخْلِ الَّذِي ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
“Orang yang paling bakhil adalah seseorang yang jika namaku disebut ia tidak berselawat ke atasku”

Oleh kerana itu, bagaimana kita membuktikan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad ﷺ jika kita tidak berselawat ke atas beliau? Ketahuilah, sekali kita selawat ke atas nabi, maka Allah akan menggandakan selawat tersebut ke atas kita sebanyak sepuluh kali.

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Barangsiapa yang berselawat atasku sekali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali.”

5) Amalkan doa penyempurnaan akhlak
Doa merupakan pintu kebaikan yang sangat agung. Ia merupakan senjata bagi orang yang beriman dan tunjang bagi segala ibadah. Barangsiapa yang ingin memiliki kemuliaan dan kesempurnaan akhlak, kembalikanlah urusannya kepada Allah SWT.

Dari Abu Ad-Darda’ RA, Nabi ﷺ bersabda,

مَا شَىْءٌ أَثْقَلُ فِى مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَيَبْغَضُ الْفَاحِشَ الْبَذِيءَ
“Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin selain akhlak yang baik. Sungguh, Allah membenci orang yang berkata keji dan kotor.”

Juga dari Abu Ad-Darda’ RA, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْ شَىْءٍ يُوضَعُ فِى الْمِيزَانِ أَثْقَلُ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ وَإِنَّ صَاحِبَ حُسْنِ الْخُلُقِ لَيَبْلُغُ بِهِ دَرَجَةَ صَاحِبِ الصَّوْمِ وَالصَّلاَةِ
“Tidak ada sesuatu amalan yang jika diletakkan dalam timbangan lebih berat dari akhlak yang mulia. Sesungguhnya orang yang berakhlak mulia boleh menggapai darjat orang yang rajin puasa dan rajin solat”

Oleh itu, mohonlah kepada Allah SWT agar kita dikurniakan akhlak seperti akhlaknya Rasulullah SAW, mencontohi sifat-sifat beliau dan meraih cinta Allah dari mengikuti sunnahnya baginda ﷺ.

Rasulullah SAW dalam salah satu doanya beliau mengucapkan:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِأَحْسَنِ الأَخْلَاقِ، فَإِنَّهُ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, tunjukkanlah aku pada akhlak yang paling baik, kerana tidak ada yang boleh menunjukkannya selain Engkau. Ya Allah, jauhkanlah aku dari akhlak yang tidak baik, kerana tidak ada yang mampu menjauhkannya dariku selain Engkau”

Kesimpulannya, 5 Sunnah yang boleh kita mulakan sebagai tapak dalam menzahirkan kecintaan kepada baginda ﷺ:

1) Sentiasa bersyukur dengan beramal soleh
2) Berakhlak mulia pada setiap waktu
3) Berkata dengan yang baik
4) Perbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad ﷺ
5) Amalkan doa penyempurnaan akhlak

Semoga Allah SWT menggolongkan kita bersama dengan orang-orang yang kita cintai, khususnya Nabi junjungan, Nabi Muhammad ﷺ.

Allahu A’lam.