fbpx

Adab berikhtilaf dalam Islam

Berusaha Sebaik Mungkin Untuk Menghindari Pergaduhan dan Persengketaan

Kita harus terima bahawa perbezaan pendapat adalah sesuatu yang telah ditakdirkan Allah s.w.t.. Namun Islam mengajak umatnya bersatu, berdamai dan berbaik sesama insan sejagat. Maka hendaklah kita sedar, dalam kita berikhtilaf, harus kita hindari pergaduhan atau persengketaan.

Lapang Dada

Berlapang dada dalam menerima teguran, kritikan. Anggaplah ia sebagai nasihat yang baik.
Memang benar anda berhak menolak teguran itu. Tetapi ingat! Penolakan terhadap kebenaran merupakan adalah hasil dari sikap sombong.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis Muslim yang bermaksud, “Kesombongan menolak kebenaran serta meremehkan orang lain.”

Hendaklah Quran dan Sunnah Menjadi Rujukan Utama

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda yang bermaksud, “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnahku” (hadis riwayat Imam Malik)

Objektif Dari Diskusi Mestilah Mencari Kebenaran dan Bukan Membenarkan Diri Sendiri

Yang menjadi objektif dalam berdiskusi adalah mencari kebenaran. Tiada gunanya berdiskusi jika setiap pihak ingin didengari dan diikuti.

Berkait rapat dengan ikhlas. Hanya yang ikhlas akan bersifat rendah diri, mengaku sekiranya dia tersalah.

Kadangkala dalam kita berdiskusi, ada pihak yang mula mengangkat suara, mencela atau merendahkan tokoh atau ulama’, atau menggunakan kata-kata yang kesat. Ketauhilah pada saat itu anda disunnahkan agar meninggalkan diskusi tersebut.

Memilih Ucapan Yang Terbaik Ketika Berdiskusi

Firman Allah s.w.t. dalam al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, “Dan katakanlah kepada manusia dengan cara yang baik.”

Dalam berdiskusi dan berkongsi pandangan atau pegangan, hendaklah kita menjaga adab dalam memilih ucapan yang terbaik, lemah lembut, sentiasa bersenyum mesra, berhati-hati dalam memilih perkataan dan contoh agar tidak menyinggung atau membuat pihak lain rasa tersindir dan tidak mengangkat suara. Ia selari dengan adab yang pertama kerana tanpa memelihara kesemua ini akan menimbulkan kemarahan yang akhirnya membawa kepada pergaduhan.

Sedar Bahaya Akibat Orang Ikut Pandangan Yang Salah

Kita diajar agar berdoa minta dijauhkan dari dosa semasa hidup dan juga selepas mati. Seorang muslim mestilah memeriksa kebenaran pandangan yang diikuti sebelum berdiskusi dan menyampaikan pandangan tersebut kepada pihak lain.

Sikap hati-hati ini dapat menyelamatkan dirinya dari fitnah yang sangat besar kerana sekiranya dia menyampaikan sesuatu yang salah, kemudian diikuti pihak lain, dia mempunyai saham dalam dosa yang dilakukan orang yang mengikutnya dan yang mengikut selepasnya dan seterusnya.

Beriltizam Dengan Bertaqwa Kepada Allah s.w.t.

Taqwa adalah sifat yang mulia, suatu perasaan takut akan akibat buruk yang dijanjikan Allah s.w.t.

Hanya apabila seseorang muslim itu beriltizam dengan bertaqwa kepada Allah s.w.t., dia terpelihara dari banyak perkara yang bernatijahkan keburukan.

Mengutamakan Ukhuwwah Islamiah

Ukhuwwah Islamiah merupakan perkara pertama yang dipupuk Rasulullah s.a.w. ke dalam hati para sahabat r.a.

Ia juga merupakan perkara utama yang dipelihara para Khulafa’ Rasyidin selepas kewafatan Baginda s.a.w. sehingga mereka tangguh pengurusan jenazah mulia Rasulullah s.a.w. dan menyempurnakan perlantikan khalifah selepas Rasulullah s.a.w. demi menjaga ukhuwwah dan kesatuan umat Islam.

Tidak Mencampurkan Antara Masalah Ikhtilafiyyah dengan Iftiraqiyyah

Ketauhilah bahawa banyak pergaduhan dan perpecahan berpunca dari kurangnya ilmu, atau kurang teliti dalam menilai sesuatu. Seorang muslim haruslah tahu kadar kekuatan ilmunya. Tidak berbicara melebihi ilmu yang telah diraih. Tidak berbicara dari hawa nafsunya. Hendaklah dia tinggalkan masalah yang dia sendiri tidak mahir dalam hal itu.

Tanpa menjaga adab ini, banyak kekeliruan dan salah faham yang akan timbul.

Oleh Ustaz Sayid Amin Jasin AS