10 FAQ Berkenaan Puasa Ramadan

10 FAQ Berkenaan Puasa Ramadan

  1. Bilakah Perlu Menjatuhkan Niat Puasa?
  • Niat puasa perlu dijatuhkan sebelum masuknya waktu subuh. Namun demikian, apabila kita sudah tahu bahawa keesokan harinya kita akan berpuasa, maka sudah dianggap telah menjatuhkan niat. Apalagi ketika bangun sahur untuk makan, pasti niat untuk berpuasa sudah ada di dalam hati tanpa melafazkannya.

Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya amal (ibadah) itu perlu dengan niat, dan (pahala) bagi setiap orang hanya tergantung dengan apa yang telah  diniatkan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  • Walau bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat bahawa disunatkan untuk melafazkan niat puasa setiap hari bermula selepas waktu magrib hingga sebelum waktu solat Subuh pada keesokan harinya, maka ia merupakan khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama.
  1. Siapa Mendapat Rukhsah Puasa?
  • Rukhsah adalah keringanan atau kelonggaran. Dengan adanya rukhsah, kita diberi keringanan dalam melaksanakan hukum agama seperti puasa qadha`. Pengecualian ini hanya diberikan kepada mereka yang dalam keadaan darurat atau terpaksa sahaja.
  • Golongan yang Mendapat Rukhsah:

Orang Tua: Orang tua yang ada kesulitan atau kepayahan untuk berpuasa, hukumnya adalah harus (mubah). Sebagai ganti, mereka perlu membayar fidyah sesuai dengan jumlah hari yang ditinggalkan. Contohnya, seorang nenek tidak mampu berpuasa selama 30 hari, maka dia perlu membayar fidyah untuk 30 hari tersebut.

Musafir / Orang Yang Ke Luar Negara: Seseorang yang belayar atau bermusafir diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa dan hanya perlu menggantikan (qadha`) puasanya selepas bulan Ramadan.

Rasa Masakan: Merasa masakan dibolehkan dengan diletakkan pada hujung lidah dan tidak membatalkan puasa. Keadaan seperti tukang masak atau suri rumah yang sedang memasak di dapur. Ibnu Abbas r.a berkata: “Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa merasa cuka atau sesuatu, selama tidak masuk sampai ke kerongkong.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah) Ini hendaklah dalam kuantiti yang sedikit. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ia ditelan masuk bersama air liur, maka batallah puasanya.

  1. Apa itu Qadha’ Puasa?
  • Qadha` adalah menggantikan puasa selepas bulan Ramadan yang telah ditinggalkan. Orang yang belum selesai puasa qadha` sehingga bertemu dengan Ramadan yang baru wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.

Orang yang menghadapi uzur syar’i seperti sakit yang boleh sembuh, musafir dan wanita haid, wajib menggantikan puasanya. Orang yang meninggalkan puasa dengan sangaja dan tidak menggantikan puasanya maka dia berdosa.

  • Bolehkah menggabungkan puasa Qadha’ dengan puasa sunat?

Puasa Qadha’ dan Puasa Sunat Sekaligus: Pada dasarnya, amalan wajib mesti diutamakan dari amalan sunat. Namun, jika seseorang berniat untuk puasa Qadha’ pada hari Isnin dan khamis atau hari-hari afdal seperti hari arafah, mudah-mudahan dia mendapat pahala sunat pada hari tersebut. Akan tetapi, jika seseorang berniat untuk puasa sunat sahaja, maka dia masih belum memenuhi tuntutan kefarduan. Oleh itu, dia masih wajib selesaikan puasa Qadha’ Ramadan.

Puasa Qadha’ dan Puasa Enam Syawal: Ulama berbeza pendapat tentang mendahulukan puasa syawal sebelum puasa Qadha’, dan menggabungkan puasa syawal dengan puasa Qadha`. Jalan yang terbaik adalah mendahulukan puasa Qadha` sebelum puasa enam. Jika khuatir tidak dapat melaksanakan puasa enam kerana jumlah puasa Qadha` yang banyak (seperti wanita haid dan nifas), maka dibolehkan untuk puasa enam. Namun demikian, hendaklah sempurnakan puasa Qadha’-nya sebelum Ramadan yang akan datang.

  1. Apa Hukum Fidyah?
  • Fidyah adalah memberi makan kepada seorang miskin sebagai ganti kepada puasa Ramadan yang ditinggalkan. Kadar pembayaran fidyah adalah sesuai dengan harga satu hidangan makanan. Sebagaimana firman Allah: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin” (al-Baqarah: 184).

Golongan Wajib Dengan Fidyah Sahaja:

– Orang tua yang merasa berat apabila berpuasa.

– Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh.

– Wanita hamil dan wanita yang menyusukan bayi.

  • Kadar Pembayaran Fidyah:

Harga pembayaran fidyah menurut Muhammadiyah ialah sekitar SG$6 (harga satu hidangan makanan (nasi/roti dan lauk)

Kadar pembayaran fidyah menurut mazhab Syafi’i pula adalah satu mud makanan asas iaitu sekitar $1.40 setiap satu mud beras (harga tahun 2022), maka ia tidak menjadi sebuah masalah yang dipertikaikan.

  • Cara Mengira Fidyah:

Contoh: Jumlah Hari (10 Hari) x Satu Hidangan ($6) = Jumlah Keseluruhan ($60).

  1. Bagaimana dengan Wanita Hamil dan Sedang Menyusukan?
  • Wanita hamil atau yang sedang menyusukan dibolehkan berpuasa jika dia mampu. Sekiranya jika dia tidak mampu, dia boleh untuk tidak berpuasa. Jika dia tidak berpuasa kerana bimbang akan dirinya sahaja, atau bimbang dengan keadaan anak di dalam kandungannya, atau kerana anak yang disusukannya, maka mereka hanya perlu menggantikan puasa dengan membayar fidyah untuk hari tersebut. Ini sesuai dengan pendapat Ibnu Abbas r.a dan Ibnu Umar r.a.

Ibnu Abbas r.a berkata: “Jika seorang wanita hamil khuatir dirinya dan wanita yang menyusukan khuatir ke atas anaknya di bulan Ramadan (jika mereka berdua berpuasa) maka mereka berdua boleh berbuka dan membayar fidyah untuk setiap hari dengan memberi makan kepada seorang miskin, dan keduanya tidak perlu melakukan Qadha’” (Riwayat at-Thobari)

Ibnu ‘Umar r.a ketika ditanya oleh wanita hamil, dia menjawab: “Berbukalah dan berilah makan kepada seorang miskin untuk menggantikan setiap harinya, dan kamu tidak perlu melakukan Qadha’” (Riwayat ad-Daraqutni)

  1. Apakah Perbezaan di antara Zakat Harta dan Zakat Fitrah?
  • Zakat Harta adalah menyerahkan bahagian harta yang telah dimiliki dan ditentukan setelah cukup kadar haul (setahun) dan nisab. Wang Zakat boleh diagihkan kepada salah satu daripada 8 asnaf secara langsung atau boleh memberikan kepada badan-badan yang mengurus pengagihan zakat harta.
  • Zakat Fitrah ialah zakat yang wajib atas setiap individu baik kanak-kanak yang belum baligh dan juga dewasa untuk diberikan selama berada di bulan Ramadan sehingga sebelum bermulanya solat Aidilfitri. Jika dia tidak berkemampuan, maka waris/wali wajib membayarkan untuknya. Sekiranya bayaran tersebut ditunaikan selepas solat Aidilfitri, maka ia dikira sebagai sedekah dan bukan zakat fitrah.
  1. Makan Dahulu Atau Solat Margib Dahulu?
  • Jika juadah berbuka telah dihidangkan, maka hendaklah dia menyelesaikan makanannya terlebih dahulu, dan setelah itu mendirikan solat magrib supaya hatinya tenang dan tidak terganggu ketika dalam solat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w: “Tidak ada solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar” (Riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lain, “Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan maka janganlah dia bersegera (tergopoh-gapah) sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan.” (Riwayat al-Bukhari)
  • Solusi: Bagi mereka yang ingin menunaikan solat magrib terlebih dahulu, maka sebaiknya juadah berbuka puasa dihidangkan setelah selesai solat magrib.
  1. Apakah Solat Witir Hanya Dilakukan Satu Kali Dalam Satu Malam?
  • Witir bermakna ganjil. Ia dilakukan setelah solat terawih secara berjemaah atau bersendirian. Solat witir hanya dilakukan sekali dalam satu malam. Sebagaimana Nabi s.a.w bersabda, “Tidak ada dua witir dalam satu malam” (Riwayat Abu Daud).

Sekiranya mereka yang telah solat witir dalam solat terawihnya, kemudian ingin melakukan qiyamul Ramadan sekali lagi, maka tidak perlu mendirikan solat witir buat kali kedua.

  1. Apakah Zikir Yang Dilakukan Nabi s.a.w Pada Akhir-Akhir Ramadan?
  • Aisyah pernah bertanya kepada Nabi s.a.w: “Jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah Lailatul Qadar, doa apa yang mesti aku ucapkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Berdoalah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni”

(Ya Allah, sesungguhnya Engkau sentiasa mengampuni (kesilapan hamba-hamba-Mu), lagi suka memaafkan. Oleh itu maafkanlah aku (dia atas salah dan silapku) (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

  1. Bagaimama Cara Iktikaf dan Bilakah Lailatul Qadar?
  • Iktikaf adalah berdiam diri atau menetap dalam suatu tempat. Secara istilah, iktikaf adalah berdiam diri dalam masjid dengan melaksanakan amalan-amalan tertentu dengan niat kerana Allah.

Iktikaf sangat dianjurkan pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.  Tempat beriktikaf hanya di masjid. Disunatkan bagi orang yang beriktikaf untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t seperti solat sunat, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Jangan lupa niat ikhlas kepada Allah dalam melaksanakan ibadah kepadanya.

  • Lailatul Qadar adalah satu malam yang sangat istimewa yang terjadi pada bulan Ramadan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pada malam tersebut, al-Qur’an diturunkan dan kita dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadah seperti solat, berselawat, berzikir, membaca al-Qur’an dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.

Para ulama berselisih pandangan tentang waktu ia terjadi. Antaranya ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Walau bagaimanapun, agama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan kerana tidak ada serorang pun yang dapat mengetahui bilakah malam seribu bulan itu terjadi.

Ramadan Menuntut Ketaqwaan, Menjana Kemuliaan

Ramadan Menuntut Ketaqwaan, Menjana Kemuliaan

oleh Ustaz Muhammad Azri Azman

 

Bulan Ramadan ialah bulan yang penuh dengan kebaikan, kemulian dan keistimewaan. Pada bulan ini akan terbukanya pintu rahmat Allah dan bakal tertutup pintu azabNya seperti mana disabdakan oleh Nabi s.a.w: “Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu langit dibuka sedangkan pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR. Bukhari)

Pada bulan ini, Allah s.w.t akan memberi pengampunan buat hamba-hambanya dari segala kesilapan yang pernah mereka lakukan. Nabi s.a.w bersabda: ”Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu pasti diampuni”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Dan lebih menarik lagi, Dengan melaksanakan Ibadah puasa bulan ini, Allah akan berikan ganjaran berlipat kali ganda dan ia akan diperhitungkan langsung oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w bersabda: “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. (HR Muslim)

Ramadan menuntut Taqwa,

Dalam kita teruja dan gembira dengan nikmat yang bakal kita dapatkan pada Bulan Ramadan nanti, jangan kita terlupa bahawa pada hakikatnya ada tuntutan yang sangat besar oleh Allah s.w.t buat kita di bulan ini, Iaitu tuntutan untuk kita menjadi orang-orang yang bertaqwa kepadaNya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Sememangnya, Ketakwaan tidak akan kita dapatkkan hanya dengan kita mengharapkannya. Ia juga tidak akan hadir dengan hanya kita sewenangnya melaksanakan rutin ibadah kita. Taqwa menuntut kejernihan niat untuk memperhambakan diri kepada Allah s.w.t. Taqwa menuntut kita meletakkan segenap usaha kita untuk mentaati perintahNya, Taqwa memerlukan penghayatan yang penuh tentang tujuaan keberadaan kita di muka bumi.

Taqwa tidak mungkin dicapai oleh orang yang jijik mulutnya mengucapkan kata-kata dusta dan nista. Taqwa tidak mungkin dicapai oleh orang yang tamak yang meninginkan nafsunya dan egonya dipuaskan pada setiap masa. Taqwa juga tidak mungkin dicapai oleh orang yang mempunyai agenda jahat yang tidak menguntungkan dan malah merugikan ummat. Untuk kita mencapai ketaqwaan, seharusnya kita menjadi orang yang baik budi pekertinya, mulia keazamannya dan membawa agenda berguna buat ummat di sekelilingnya.

Taqwa menjana kemuliaan,

Penentuan kemuliaan seseorang itu tidak berdasarkan bangsa seseorang, umur seseorang atau jantina seseorang tetapi penentuan kemuliaan yang sebenar adalah taqwa. Taqwa yang menentukan seorang ‘ajam boleh jadi lebih mulia dari seorang yang berketurunan arab. Seterusnya, taqwa yang menentukan orang lebih muda dimuliakan oleh Allah s.w.t dari mereka yang tua darinya. Taqwa juga yang menentukan kemuliaan seorang wanita berbanding lelaki. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 13: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Setiap insan perlu dinilai oleh ketaqwaannya, khususnya dalam dia menjalankan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t. Kemampuan ilmu, harta dan tenaga tidak akan berguna jika seseorang itu tidak bertaqwa dalam menjalankan tugasnya. Dengan taqwa, jati dirinya akan lebih kukuh manakala hubungannya dengan Allah s.w.t dan hubungannya dengan makhluk Allah akan bertambah erat. Akhirnya, dia akan mencapai darjat kemuliaan di sisi Allah dan sisi makhlukNya.

Maka dengan itu, perlu untuk kita hadirkan diri kita ke Bulan Ramadan dengan penuh kejelasan tentang hakikat ketaqwaan yang ingin kita capai. Juga untuk kita menilai diri kita, kelemahan apa yang perlu kita perbaiki dan kekuatan mana yang boleh kita perkukuhkan. Dengan kejelasan dan kesedaran ini, kita akan dapat mempersiapkan diri kita untuk berjaya memenuhi tuntutan Allah s.w.t untuk mencapai ketaqwaan dan mencapai kemuliaan. Ayuh! Marilah kita bertaqwa dengan sebenar-benar ketaqwaan di Bulan Ramadan!