Kesamaan

Persatuan Muhammadiyah sudah berdiri di Singapura lebih dari setengah abad. Lahir pada 25 November 1957, ia telah banyak menyumbang kepada masyarakat khususnya dalam amal-amal dakwah, kebajikan dan pendidikan. Maka tidak hairanlah jika semakin ramai dari anggota dan masyarakat Islam turut ikut serta untuk beramar makruf nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikan, melarang kepada kemungkaran) dan memberi kepercayaan kepada Muhammadiyah ke arah yang lebih baik.

Tiga perkara inilah yang dibawa oleh abang angkat dari negeri jiran ke Singapura pada satu masa ketika dahulu. Muhammadiyah Indonesia, lebih dari 30 juta pengikut memiliki ideologi yang sama dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar. Bergerak secara berpesatuan, berfikiran dengan matang, berhati lunak dan berjiwa besar.

Moto penggerak dari kedua persatuan ini sesuai dengan firman Allah s.w.t:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)

Silaturahim

Tiap-tiap tahun abang angkat berkunjung ke sini. Membawa puluhan rombongan untuk menjenguk dan bertanya khabar kepada adik angkatnya. Di sini ukhuwah keduanya terjalin. Saling kenal-mengenal, bertukar-tukar pandangan dan idea serta merancang untuk masa depan bersama. Sikap seperti ini dianjurkan oleh agama sebagaimana dalam al-Qur`an:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Sentiasa Ingin Maju

Sepertinya abang angkat tidak memerlukan adiknya, namun sifat rendah hati dan ingin terus maju serta berkembang, ia sentiasa mempelajari dan menimbu ilmu untuk meraih manfaat yang berguna walaupun dengan melihat sesuatu yang jauh lebih kecil darinya.

Dengan memiliki sifat yang mulia ini iaitu selalu memandang orang yang berada di bawahnya (yang lebih kecil) dalam masalah ini, seseorang akan merealisasikan syukur dengan sebenarnya. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

“Pandanglah orang yang berada di bawahmu dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah dunia dan harta). Dengan demikian, perkara itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” (Riwayat Muslim: 2963)

Hadis ini menerangkan tentang sikap manusia dalam melihat harta benda dunia. Walaubagaimanapun, tidak kiralah jika manusia melihat sesuatu perkara yang lebih kecil dalam masalah lain seperti cara berdakwah, berkebajikan dan sebagainya untuk memajukan diri, sudah pasti setiap yang dilihat terdapat ilmu yang sangat berguna.

Renungan ber-Ukhuwah

Hadis dari Abu Hurairah r.a: “Sesungguhnya seseorang ada yang ingin mengunjungi saudaranya di kota lain. Allah lalu mengutus malaikat untuknya di jalan yang akan ia lalui. Malaikat itu pun berjumpa dengannya seraya bertanya, ‘Ke mana engkau akan pergi? Ia menjawab, ‘Aku ingin mengunjungi saudaraku di kota ini?’ Malaikat itu bertanya lagi, ‘Apakah ada suatu nikmat yang terkumpul untukmu kerana sebab dia?’ Ia menjawab, ‘Tidak. Aku hanya mencintai dia kerana Allah ‘azza wa jalla.’ Malaikat itu berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untukmu. Allah sungguh mencintaimu kerana kecintaan engkau padanya’.” (Riwayat Muslim: 2567).

Written by Ustaz Khairul Abdullah Kamal