Budaya Tergesa-gesa dalam Beragama: Kesan Ilmu yang Belum Matang
Manusia Makhluk Istimewa
Manusia ialah makhluk ciptaan Allah s.w.t yang teristimewa. Makhluk yang dimuliakan berbanding dengan ciptaan-ciptaannya yang lain. Makhluk yang wajahnya diukir dengan ukiran terindah, mata yang dapat melihat huruf-huruf dan kata-kata, mulut yang boleh membaca dan berbicara.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Isra` ayat ke-70 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Ciptaan akal manusia pula dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk berfikir. Melalui akal, manusia berfikir sehingga mengetahui pelbagai keahlian untuk keperluannya, kepakaran berbahasa untuk berkomunikasi, serta keilmuan yang diberikan untuk memanfaatkan segala yang berada di bumi.
Begitu juga dalam hal ehwal agama, manusia menerima ilmu dengan akal yang cerdas khususnya dalam melaksanakan amal ibadahnya sesuai petunjuk al-Quran dan as-Sunnah yang dipelajari dari ibu ayah di rumah semasa kecil serta asatizah di universiti dan di masjid-masjid ketika sudah dewasa.
Kenikmatan Ilmu Agama
Antara sekian nikmat Allah s.w.t yang manusia rasakan adalah kenikmatan ilmu agama. Ilmu agama yang dapat mendekatkan diri dengan tuhan, dan ilmu agama yang dapat memberi rahmat untuk sekalian umat. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat ke-11 yang bermaksud, “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Setiap ibadah memerlukan ilmu untuk mengamalkannya. Sebagai contoh dalam ibadah solat, nabi Muhamamd s.a.w memerintah para sahabat untuk melihat cara beliau solat agar ibadah solat yang dilakukan sama seperti yang telah dicontohkannya. Demikianlah juga ibadah-ibadah yang lain seperti wuduk, puasa, zakat, umrah dan sebagainya.
Orang yang memiliki ilmu agama pastinya terasa nikmat akan setiap ibadah dan amalan yang dilakukannya. Sudah tentu masalah sah dan batalnya sebuah ibadah diketahui, hikmah dan maqasid dihayati, serta kemudahan beribadah dalam Islam atau dikenali sebagai rukhsah difahami untuk dilakukan ketika dalam keadaan sukar dan sulit.
Ilmu Tiang Segala Sesuatu
Pada asasnya, Islam mewajibkan ummatnya untuk sentiasa menuntut ilmu agama dan ilmu pengetahuan yang lain. Sebagaimana sabda nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud, “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim”.
Ulama dan ilmuwan silam tidak pernah lelah dalam meningkatkan wawasan pengetahuan mereka. Tidak pernah jemu untuk belajar dan mengkaji serta meningkatkan pelbagai kemahiran demi kepentingan peribadi mahupun keperluan manusia secara umumnya.
Inilah asas sebenar ketika ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w mengenai perintah ‘Iqra’. Sebuah perintah untuk sentiasa membaca, mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri. Allah menyebutkannya dalam surah al-‘Alaq ayat pertama hingga ke-5 yang bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Bersabar Menimba dan Menyampaikan Ilmu
Menuntut ilmu ibarat menyemai benih yang memerlukan kesabaran dan ketekunan demi mendapatkan hasil buah yang berkualiti. Ilmu akan bertambah dan menghiasi keperibadian yang baik serta kefahaman yang bermakna seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar lagi cantik berwarna-warni.
Tauladan terbaik yang boleh kita contohi ialah Nabi Muhammad s.a.w. Beliau sangat tekun dan sabar ketika menerima wahyu dari malaikat Jibrail. Beliau tidak tergesa-gesa menghafal al-Quran dan berhikmah ketika menyampaikan ilmunya kepada para sahabat. Kisah ini boleh kita dapati dalam surah Taha dan surah al-Qiyamah.
Di dalam surah Taha ayat ke-114 Allah s.w.t berfirman, “Maka, Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibrail kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku’”.
Manakala dalam surah al-Qiyamah ayat ke-16 hingga ke-19 Allah s.w.t berfirman, “Janganlah engkau (wahai Muhammad), Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu, menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibrail), maka bacalah menurut bacaannya itu; Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).”
Bahaya Tergesa-Gesa
Agama Islam mendidik manusia untuk sentiasa bersikap teliti dan tidak terburu-buru dalam menerima informasi sebelum disebarluaskan. Sikap ini dinamakan sebagai tabayyun yang bermaksud memastikan dan menyemak asas kebenarannya. Setiap sebaran tanpa diselidiki pastinya memberi Kesan kepada sesiapa yang menerimanya. Lebih teruk lagi, jika maklumat yang disebarnya itu adalah palsu yang memudaratkan.
Allah s.w.t menyebut perkara ini dalam surah al-Hujurat ayat ke-6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
Penelitian dalam menerima sebuah cerita termasuk ilmu mesti diambil berat supaya tidak terjadinya penyebaran palsu mahupun ilmu yang tidak sahih atau benar. Demikianlah yang dinasihatkan oleh baginda s.a.w di dalam sebuah hadis dari Hafs bin Asim r.a yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, “Cukuplah bagi seseorang itu dianggap pendusta (pembohong) apabila dia menceritakan semua yang dia telah dengar”
Prinsip Menerima dan Menyampaikan Ilmu
Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia adalah ilmu pengetahuan. Ibarat sebuah kata “With great power comes great responsibility”, maka manusia dipertanggungjawabkan atas setiap ilmu yang diterima dan ilmu yang disampaikan. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Isra` ayat ke-36 yang bermaksud, “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
Zaman A.I (Artifical Intelligence) dan media sosial telah merubah landskap kehidupan. Manusia perlu lebih peka dengan keaslian maklumat, gambar, video dan sebagainya. Tanpa diselidiki kebenaran informasi yang diterima, kemungkinan besar ia adalah sebuah maklumat palsu. Kecanggihan alat komunikasi telah mempercepat penyebaran segala maklumat, maka manusaia perlu cekap bertabayyun. Tidak tergesa-gesa menyebarkannya dan perlu lebih berhati-hati.
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan” (Riwayat al-Baihaqi). Sikap kehati-hatian ini merupakan prinsip yang sangat penting dalam kehidupan.
Kesimpulan
Manusia dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan akal dan ilmu sebagai panduan beragama dan kehidupan. Ilmu yang memberi manfaat ialah ilmu yang disertai dengan ketelitian, kebenaran dan kefahaman yang sahih. Ibadah dan amal tidak cukup sekadar semangat, tetapi ia perlu dibina di atas landasan asas ilmu yang benar sesuai kehendak al-Quran dan as-Sunnah.
Kematangan perlu diasar dengan ilmu pengetahuan yang betul. Budaya tergesa-gesa sering berpunca daripada kejanggalan ilmu yang belum sempurna difahami. Apabila manusia cepat menyebarkan maklumat dan ingin beramal tanpa ilmu, ia boleh membawa kepada kekeliruan dan kesalahan. Sedangkan Islam membimbing manusia untuk bertabayyun agar setiap tingkah lakuknya lebih berhati-hati dengan penuh tanggungjawab.
Marilah sama-sama kita membina sikap sabar dalam menuntut dan menyampaikan ilmu, mencontohi nabi Muhammad s.a.w yang tidak tergesa-gesa dalam menerima wahyu serta menyebarkannya. Semoga segala perbuatan kita diredai oleh Allah s.w.t.
Disediakan oleh: Ustaz Khairul Abdullah Bin Kamal

