MEMPERCAYAI dan meyakini keesaan Allah asas keimanan orang Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Ikhlas: “Katakanlah (Muhammad), ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu setara dengan Dia.’ .” Apabila kita meyakini bahawa Allah ia-lah Yang Maha Esa, ia bermakna Allah sahaja paling layak disembah dan paling layak ditaati segala perintahnya. Dialah tempat bergantung bagi makhluk seperti kita dalam mengharapkan apa sahaja bentuk keperluan dan kehendak sepanjang kehidupan kita. Dialah satu-satunya Tuhan yang wujud, tiada tuhan yang datang sebelumnya dan tiada tuhan selepasnya. Kekuasaan dan kehebatan Allah sememangnya tiada tandingan oleh mana-mana kuasa yang ada di alam yang Allah ciptakan ini.

Keyakinan inilah yang patut ada pada setiap orang yang menggelar dirinya sebagai Muslim. Mentauhidkan Allah, atau mengesakan Allah, perlu menjadi agenda utama kita. Ia akan memberi kesan terhadap kehidupan kita. Kita akan menjadi lebih terpandu kerana kita sedar sasaran kita yang utama ialah mendapatkan keredaan Allah. Allah menjadi satu-satunya tempat bergantung, khususnya apabila kita dilanda masalah dan cabaran dalam kehidupan kita. Dalam menjaga keyakinan tauhid kita, perlu kita berhati-hati akan gejala yang boleh merosakkan pegangan kita ini.

MENYEKUTU ALLAH

Gejala pertama sekali ialah syirik, iaitu menyekutukan Allah dengan yang lain, termasuk dengan makhluk-Nya. la boleh berlaku dengan kita menyembah atau mengabdikan diri kepada selain daripada Allah. Ia juga boleh berlaku dengan kith meninggalkan perintah Allah dan mentaati sebarang kuasa yang menentang-Nya. Allah tidak akan beri pengampunan bagi mereka yang menyekutukan-Nya, sebagaimana yang difirman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 48: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada itu (syirik), bagi siapa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah membuat dosa besar.”

SIKAP TAKBUR

Gejala kedua ialah sikap takbur, iaitu menilai diri sendiri lebih hebat dan lebih sempurna daripada makhluk Allah yang lain. Walaupun orang takbur masih meyakini keesaan Allah, dia bertindak menafikan penilaiaan Allah terhadap sesuatu perkara. Dia berasa dirinya paling berilmu daripada yang lain. Dia berasa dirinya paling benar daripada yang lain. Dia berasa dirinya mulia daripada yang lain. Sikap takbur inilah yang menyebabkan iblis dimurkai Allah apabila iblis menafikan penilaian Allah terhadap kemuliaan Nabi Adam as dan seterusnya ingkar perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam.

SIFAT RIYAK

Gejala ketiga ialah sifat riyak, iaitu mengharapkan keredaan manusia lebih daripada keredaan Allah. Daripada Mahmud bin Labid, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling menakutkan yang aku bimbang menimpa kalian ialah syirik kecil.” Baginda ditanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Riyak. Allah azza wa jalla akan berfirman kepada mereka pada hari kiamat pada saat manusia dibalas kerana perbuatan mereka, ‘Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian berbuat riyak kepadanya ketika di dunia, maka lihatlah apakah kalian mendapatkan balasan di sisi mereka.’.” Riyak dikira sebagai syirik kecil disebabkan seseorang itu menyekutukan Allah dengan meletakkan keredaan makhluk sebagai tujuan dia melaksana kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Atas dasar itu, sangat perlu kita menilai keyakinan kita dengan berlaku ikhlas dalam mentauhidkan Allah dan meninggalkan segala bentuk gejala yang dapat mengganggu dan menggugatnya, seperti syirik, takbur dan riyak.

UJIAN KE ATAS HAMBA

Tatkala kita menyatakan dan mengamalkan keyakinan kita dalam mengesakan Allah, kita tidak akan dibiarkan hidup dengan senang-lenang, sebaliknya kita akan mendapat ujian daripada Allah. Ini sesuai dengan dengan firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat ke 2: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” Allah akan mendatangkan ujian buat kita dalam bentuk kepayahan atau kesenangan, kemiskinan atau kemewahan, kesedihan atau kegembiraan. Ujian ini akan menatijahkan seseorang itu lebih kukuh imannya terhadap Allah dan mencapai potensinya yang sebenar dalam melaksanakan kebaikan. Dan mungkin juga ujian ini akhirnya mengakibatkan seseorang itu hilang keimanannya dan terjerumus ke dalam kejahatan dan maksiat. Ia bergantung bagaimana setiap individu menghadapi ujian tersebut. Rasulullah saw sendiri tidak terkecuali daripada ujian, malah baginda diberi ujian paling hebat oleh Allah sebagaimana dikhabarkan oleh Aisyah ra: “Sesungguhnya aku belum pernah menyaksikan seseorang menderita kesakitan yang lebih parah daripada apa yang dideritai oleh Rasulullah saw.” Akhirnya dengan izin Allah, Rasulullah saw dan para sahabat dapat mengharungi segala bentuk ujian, memperkukuhkan iman mereka dan berjaya membawa kegemilangan buat agama Allah.

UJIAN COVID-19

Sekarang, Allah menimpakan ke atas umat manusia satu ujian hebat, iaitu pandemik koronavirus Covid-19. Keselamatan kita terancam oleh virus sangat kecil ini, yang sejauh ini telah mengakibatkan lebih 300,000 kematian di seluruh dunia. Kita terpaksa berkurung di dalam rumah, berjauhan daripada orang tersayang, pergerakan kita terbatas, mata pencarian terjejas dan masjid ditutup. Bagi umat Islam, kita harus mempercayai bahawa wabak ini datang daripada Allah untuk menguji iman kita kepada-Nya dan menghayati keberadaan Allah dalam kehidupan kita. Kita perlu meyakini bahawa apabila nyawa kita terancam, hanya Allah yang dapat menjamin keselamatan kita. Apabila kita rasa sempit di ruang terbatas, hanya Allah yang dapat memberikan kelapangan kepada kita. Apabila kita berasa orang yang kita sayang berjauhan daripada kita, Allah yang pada hakikatnya sangat dekat dan sangat sayang kepada kita.

Apabila kita berasa hilang mata pencarian, Allah yang Maha Pemberi Rezeki akan mencukupkan kita. Apabila kita berasa pintu masjid tertutup buat kita pada Ramadan lalu, pintu rahmat Allah masih luas terbuka. Oleh itu pada saat-saat sangat mencabar ini, marilah kita pertingkat iman kita kepada Allah, Tuhan Maha Esa. Marilah kita jadikan Allah tempat pergantungan mutlak dalam segala urusan kita. Marilah kita meninggalkan segala bentuk gejala yang boleh merosakkan hubungan kita dengan Allah. Kita perbaiki gaya hidup kita agar terpandu dengan aturan yang Allah tetapkan bagi kita. Kita pimpin keluarga kita, kaum kerabat kita dan sahabat handai kita untuk menuju kepada keredaan Allah. Semoga kita termasuk dalam golongan Khairul Bariyah yang berada di bawah naungan keredaan Allah, sebagaimana yang tertera melalui firmannya dalam Surah Al-Bayyinah ayat ke 8: “Sungguh, orang-orang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda padaNya. Yang demikian itu ialah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”

► Penulis presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pembelajaran Islam daripada Kuliah Dakwah Islamiah, Tripoli, Libya.