Hikmah: Khazanah Berharga Yang Semakin Dilupakan
HIKMAH: KHAZANAH BERHARGA YANG SEMAKIN DILUPAKAN
Oleh: Muhammad Azri Bin Azman
Hikmah: Buah Sebenar daripada Tarbiah Ramadan
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar menandakan berakhirnya Ramadan, tetapi juga simbol kemenangan rohani bagi umat Islam setelah sebulan menjalani ibadah dengan penuh kesungguhan. Namun di sebalik kegembiraan ini, terdapat satu persoalan besar yang perlu direnungkan bersama, sejauh mana Ramadan telah membentuk bukan sahaja ilmu dan amalan kita, tetapi juga hikmah dalam diri.
Hikmah sering disebut sebagai anugerah tertinggi daripada Allah s.w.t. Dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa sesiapa yang dikurniakan hikmah, sesungguhnya telah diberikan kebaikan yang banyak. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 269:
“Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang diberikan hikmah, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.”.
Ini menunjukkan bahawa hikmah bukan sekadar pelengkap kepada ilmu, tetapi merupakan puncak kepada segala bentuk pengetahuan.
Ilmu yang Tidak Melahirkan Hikmah
Dalam kehidupan hari ini, manusia semakin mudah memperoleh ilmu. Akses kepada maklumat berada di hujung jari, dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan yang pesat. Namun, kemudahan ini tidak semestinya melahirkan manusia yang lebih bijaksana. Sebaliknya, kita sering menyaksikan perdebatan yang keras, perpecahan dalam masyarakat, serta kecenderungan untuk menghukum tanpa memahami. Inilah gambaran ilmu tanpa hikmah.
Para ulama menjelaskan bahawa hikmah ialah keupayaan untuk memahami sesuatu secara mendalam dan meletakkannya pada tempat yang tepat. Ia bukan sekadar mengetahui hukum atau dalil, tetapi memahami tujuan di sebalik hukum tersebut serta bagaimana ia membawa kebaikan kepada manusia. Hikmah juga menuntut kebijaksanaan dalam menyampaikan kebenaran, bukan sekadar benar dari segi isi, tetapi juga tepat dari segi cara.
Hikmah dalam Dakwah di Tengah Cabaran Zaman Digital
Dalam konteks dakwah, hikmah menjadi elemen yang amat penting. Seruan kepada kebaikan tidak boleh dilakukan dengan pendekatan yang keras atau meminggirkan realiti masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.”
Pendekatan yang penuh hikmah menuntut kita memahami keadaan manusia, menghormati perbezaan, dan membimbing secara berperingkat. Inilah pendekatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ dalam menyampaikan risalah Islam.
Cabaran besar zaman ini ialah apabila ilmu dipisahkan daripada nilai hikmah. Kemajuan teknologi telah mempercepatkan penyebaran maklumat, tetapi tidak semua maklumat disampaikan dengan tanggungjawab dan adab. Media sosial misalnya, memberi ruang kepada semua untuk bersuara, namun tanpa panduan hikmah, ia boleh menjadi medan penyebaran kekeliruan dan ketegangan.
Lebih membimbangkan, dunia hari ini turut menyaksikan bagaimana ilmu dan teknologi digunakan tanpa nilai kemanusiaan. Konflik, penindasan dan ketidakadilan berlaku dalam skala yang lebih besar, menunjukkan bahawa kemajuan semata-mata tidak menjamin kesejahteraan. Tanpa hikmah dan taqwa, ilmu boleh menjadi alat kerosakan.
Justeru, usaha membina generasi masa depan tidak boleh hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Kita perlu melahirkan generasi yang berilmu dan berhikmah. Ini bermakna pendidikan perlu menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak, dan keupayaan berfikir secara mendalam. Anak-anak perlu dibimbing untuk bukan sahaja mengetahui, tetapi memahami, menilai dan bertindak dengan kebijaksanaan.
Taqwa Sebagai Asas Lahirnya Hikmah
Selain itu, hubungan dengan Allah s.w.t juga menjadi asas penting dalam membentuk hikmah. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anfal ayat 29:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberikan kepada kamu furqan (kemampuan membezakan antara yang benar dan yang salah).”
Taqwa melahirkan keupayaan untuk membezakan antara yang benar dan yang salah dengan lebih jelas, sekali gus membimbing manusia dalam membuat keputusan yang adil dan seimbang.
Aidilfitri seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita memperbaharui komitmen dalam mencari dan mengamalkan hikmah dalam kehidupan. Ia bukan sekadar kembali kepada fitrah dari sudut ibadah, tetapi juga dari sudut pemikiran dan akhlak.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar ini, hikmah adalah khazanah berharga yang perlu digali semula. Dengan mengembalikan hikmah dalam ilmu, dakwah dan kepimpinan, masyarakat bukan sahaja dapat mengelakkan perpecahan, malah mampu membina masa depan yang lebih adil, aman dan bermakna untuk semua.