Oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Zainul
Pegawai Dakwah Muhammadiyah

Setiap ibu bapa pasti inginkan yang terbaik buat keluarga dan anak-anak. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa setiap manusia yang beriman kepada Allah belum lagi mencapai kejayaan yang hakiki kecuali apabila diselamatkan dari api neraka, dan dimasukkan ke syurga Allah yang kekal abadi.

Inilah apa yang kita inginkan, untuk mendapatkan kejayaan yang sementara di dunia, demi untuk mencapai kemuncak kejayaan yang abadi di akhirat kelak.

Justeru itu, Ibu bapa yang bijak, adalah mereka yang mempunyai sikap mengambil tahu dan sentiasa prihatin dalam hal ehwal kehidupan anak-anak supaya dapat membimbing mereka dalam mengharungi konteks kehidupan semasa serta memahami cara pemikiran mereka dan juga budaya kehidupan yang mereka hadapi harini.

Cuba kita lihat, bagaimana nabi Muhammad s.a.w dalam masa 23 tahun, dapat memberikan pendidikan yang lengkap buat generasi sahabat? Generasi yang disebutkan dalam Al-Quran dalam surah ali imran ayat 110 sebagai sebaik-baik ummat yang dilahirkan buat ummat manusia? Antara sebabnya adalah kerana sikap nabi sebagai seorang ketua yang sering mengambil tahu dan prihatin mengenai hal ehwal masyarakat pada masa itu.

Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 128:

لَقَدۡ جَاۤءَكُمۡ رَسُولࣱ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِیزٌ عَلَیۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِیصٌ عَلَیۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِینَ رَءُوفࣱ رَّحِیم

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

Dua sikap yang dicontohkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w adalah yang pertama, sikap Rauf (iaitu sangat inginkan kebaikan) seterunsya sikap Rahim (iaitu mencurahkan kasih sayang) dalam memberikan pendidikan buat generasi sahabat yang merupakan “generasi yang terbaik”.

Pendidikan yang diberikan kepada mereka seimbang dari segi perkembangan intelektual, kerohanian dan juga emosi.

Begitu juga cara yang dapat kita teladani untuk mengukuhkan institusi kekeluargan. Sikap Rauf dan Rahim, Sikap mengambil tahu dan sentiasa ingin kan kebaikan buat anak-anak kita, serta mencurahkan kasih sayang terhadap mereka.