Indahnya masyarakat Islam apabila ia bersatu dengan berasaskan keimanan dalam segala aspek kehidupan. Sebagaimana Allah s.w.t berfirman dengan tegas dalam surah al-Hujarat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Maksudnya: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya adalah bersaudara. Maka itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah kepala Allah, supaya kamu mendapat rahmat

Perbezaan dalam kepelbagaian pandangan dalam berurusan seperti mencari suatu solusi atau perkongsian idea demi kemajuan umat tidak boleh menjadi sebab puncanya perpecahan dan kerosakan ukhuwah. Masyarakat yang positif akan sedaya upaya mengharmonikan keadaan supaya jika perpecahan berlaku ia tidak menjadi perbalahan yang berpanjangan.

Kata lawan dari perkataan ukhuwah adalah iftiraq (iaitu berpecah belah). Allah menyuruh kita untuk menjauhi perpecahan. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 103:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu (pernah) berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Nabi s.a.w pernah bersabda, pentingnya setiap muslim bersatu sebagaimana dalam hadisnya yang bermaksud: “Sungguh seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, yang menguatkan sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ukhuwah menjadi sebuah kekuatan pada zaman Nabi s.a.w. Kita boleh lihat perang badar, fathul Makkah dan sebagainya, umat ketika itu bersatu padu dengan kekuatan iman dan amal. Sebaliknya, peristiwa perpecahan dan kerosakan kekuatan Islam yang pernah juga terjadi pada zaman Nabi disebabkan hawa nafsu yang mengejar harta dunia seperti perang Uhud dan kemunafikan di Kota Madinah yang sengaja memecah belahkan ukhuwah yang telah dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat.

Setiap dari kita ibarat sebuah bangunan yang saling menguatkan, mengindahkan dan juga menjalankan fungsi sebagai sebuah bangunan. Perkara yang boleh kita lakukan dalam berukhuwah bukan keseragaman, tetapi kebersamaan (iaitu sikap bersama-sama) yang perlu ada. Ini kerana sifat semula jadi manusia dalam kehidupan adalah kepelbagaian yang berbeza-beza dalam setiap diri individu.

Indahnya alam ini kerana terdapat siang dan malam. Hebatnya Allah s.w.t dalam mencipta manusia, terdapat padanya bermacam-macam fungsi pada tubuh badan manusia, menjadikan manusia ciptaan Allah yang sangat sempurna.

Mata ada fungsinya, tangan ada fungsinya, kaki juga ada fungsinya. Setiap anggota tubuh badan manusia berbeza dan terdapat fungsinya masing-masing. Begitu juga seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain ibarat sebuah bangunan yang kukuh. Ada tiang, ada tembok, ada bumbung dan sebagainya, semuanya ini terdapat fungsi tersendiri.

Sekiranya tiang dan tembok sahaja ada pada sebuah bangunan, pastinya ia tidak dapat berfungsi dengan baik jika bangunan itu tidak berbumbung. Bangunan yang tidak berelektrik juga mungkin tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Bangunan yang tidak dihiasi dan dicat, pasti tidak akan terlihat keindahan bangunan tersebut.

Oleh yang demikian, perbezaan dari setiap dari kita semua ibarat sebuah bangunan. Bukan bermakna kita tidak dapat merapatkan saf dan barisan, sebaliknya perbezaan inilah berfungsi untuk kita saling melengkapi.

Untuk mencapai kejayaan umat yang bersatu, masyarakat Islam perlu mengikuti pertunjuk syariat agama. Nabi s.a.w memberi beberapa petunjuk kepada kita supaya perpecahan tidak berlaku. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

لاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَنَاجَشُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah saling tipu menipu, janganlah saling benci membenci, janganlah saling belakang membelakangi (saling berpaling), dan janganlah sebahagian menjual sesama sendiri atas dasar menjual kepada orang lain.” (Riwayat Muslim)

Maksudnya di sini ialah, peliharalah jiwa kita dalam tujuan yang sama, iaitu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, menyuruh manusia berbuat yang makruf dan mencegah manusia dari yang mungkar supaya kekuatan ukhuwah terjalin demi kejayaan umat menuju akhirat yang kekal abadi.

Terdapat banyak sebab yang merosakkan ukhuwah persaudaraan sebuah masyarakat. Antaranya ialah berpunca dari kepentingan-kepentingan peribadi dan juga kepentingan-kepentingan kelompok, bukan untuk kepentingan agama dan bukan juga untuk kepentingan umat. Setiap dari kita mesti menjauhkan diri dari fitnah, sikap sombong, kepentingan diri, perbuatan-perbuatan peribadi yang tidak mencerminkan prinsip seorang mukmin.

Di sinilah pentingnya merapatkan barisan. Jika kita semua ingin melangkah jauh memajukan masyarakat Islam sesuai dengan pedoman Al-Quran dan As-Sunnah, perlu ada usaha dari setiap dari kita untuk memajukan umat dengan mencurahkan nilai-nilai Islam yang positif dan progresif, bersatu hati dan sikap utuh dalam berusaha, serta bergerak ke hadapan bersama-sama.

Allah berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Saf: 4)

Jika kita hendak bergerak cepat, bergeraklah sendiri-sendiri. Tetapi, jika kita hendak bergerak jauh ke hadapan, marilah kira bergerak bersama-sama.

Semoga masyarakat Islam sentiasa bersatu demi memperolehi manfaat yang lebih besar, diberkati, dan diredhai oleh Allah s.w.t.

DONATE TO THE WAHDAH PROJECT TODAY

(Building upgrading project for Muhammadiyah Association HQ)

Muhibbah | Infaq $100

Token : 1 x Ajwa Tin
(30 dates)

(FREE Delivery!)

Barakah | Infaq $500

Token : 2kg Ajwa Dates
+ Ajwa Tin (30 dates)

(FREE Delivery!)

Rahmah | Infaq $1000

Token : 5 kg x Ajwa Dates
+ Jute Bag

(FREE Delivery!)