Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t telah menunjukkan antara cara yang berkesan untuk mendapatkan bantuan-Nya.
Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ (البقرة: 45)
Yang bermaksud: “Dan mintalah bantuan (kepada Tuhan) melalui kesabaran dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah sangat berat, melainkan bagi mereka yang khusyuk.” [Surah Al-Baqarah, ayat 45].
Di dalam tafsir Al-Qurtubi dinyatakan bahawa, tatkala Allah s.w.t memilih ibadah solat daripada pelbagai ibadah yang lain, ia menunjukkan betapa pentingnya ibadah tersebut. Begitu hebat dan pentingnya peranan solat dan juga sifat bersabar dalam kehidupan seorang mukmin. Dengan melaksanakan kedua-dua amalan ini, seorang mukmin bakal meraih bantuan dari illahi. Sebagai jalan keluar dan juga huraian ketika berhadapan dengan cabaran kehidupan.
Hendaklah kita ikuti tauladan yang telah ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w, sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Dawud. Setiap kali Nabi s.a.w ada urusan, Baginda dengan segera mendirikan solat.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hijr, ayat 97-99, yang mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w ketika permulaan Islam.
وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (الحجر: 97) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (الحجر: 98) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (الحجر: 99).
Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, dan jadilah daripada golongan mereka yang bersujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap dan yakin (kematian).” [Surah Al-Hijr, ayat 97-99].
Timbul persoalan di benak hati ini. Solat yang bagaimanakah kita sepatutnya lakukan untuk mendapatkan pertolongan ilahi dari pelbagai masalah kehidupan? Sudah tentu, ia adalah solat yang didirikan dengan penuh kekhusyukan serta ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.
Apabila kita mendirikan ibadah solat, adakah kita hanya menganggapnya sebagai bacaan dan pergerakan semata-mata? Apakah kita sedar bahawa di sebalik setiap ungkapan yang kita lafazkan, kesemuanya mengandungi doa dan zikir yang tersirat?
Apabila kita sedang rukuk, ia merupakan perbuatan yang melambangkan kehormatan. Maka itu, tidak hairanlah sekiranya zikir yang diungkapkan ketika rukuk سبحان ربي العظيم, membawa erti pujian kepada keagungan Allah SWT. Apabila kita sedang sujud, kita meletakkan dahi di atas bumi, sebenarnya kita sedang mengakui kedudukan kita sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, sambil kita membaca سبحان ربي الأعلى. Begitulah ertinya, memuji ketinggian Allah SWT ke atas diri kita. Apabila kita sedang duduk melutut, ia merupakan perbuatan seorang hamba yang memohon sesuatu daripada Tuhannya. Begitulah erti di sebalik doa yang dibaca apabila kita sedang duduk di antara dua sujud; memohon pengampunan, rahmah, belas kasihan dan pemberian daripada Allah s.w.t.
Dengan memahami makna di sebalik zikir dan doa yang dilafazkan sewaktu melaksanakan ibadah solat, ia dapat melahirkan rasa khusyuk di dalam diri, lantas memberikan suatu pengalaman yang indah dalam pelaksanaan solat.
Kesemua ini membuktikan bahawa solat itu bukanlah sekadar pergerakan fizikal badan dan ungkapan lafaz yang tertentu. Akan tetapi, apabila kita memahami apa yang dilafazkan, ia membawa maksud yang lebih mendalam, iaitu kesedaran bahawa diri kita ini sedang berhubungan secara langsung dengan Allah s.w.t dan sedang berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Agung.
Ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w:
قال ﷺ: (إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلَاتِهِ فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ)
Yang bermaksud: “Apabila seseorang itu melaksanakan solat, maka dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, atau Rabbnya berada diantara dia dan kiblat.” [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim].
Sebagaimana orang yang solat sering berzikir dan mengingati Tuhannya, begitu juga kehidupannya selepas dia selesai dari solat. Dia sering ingat kepada Allah SWT. Seorang muslim tidak akan berdusta, tidak memungkiri janji, tidak menghina dan sebagainya, kerana penghayatannya terhadap ibadah solat, menjadikan dirinya insan yang lebih peka akan pemerhatian Allah terhadap dirinya, kerana Allah itu Maha Melihat. Ini kerana zikir dan doa kepada Allah itu bukan sahaja terhad di dalam ibadah solat. Begitu juga, melaksanakan amal soleh hendaklah diterapkan pada setiap keadaan dan masa.
Semoga dengan pengamatan yang lebih mendalam terhadap setiap doa dan zikir yang kita amalkan, ia dapat mengukuhkan lagi keimanan dan kerohanian kita. Semoga dengan bantuan dari Allah SWT, kita dapat menjadi seorang muslim yang gigih beribadah, mendekatkan diri kepada Allah Azza Wajalla dan menjadi seorang insan yang sentiasa bersyukur, merendahkan diri dan disenangi insan lain. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.