Solusi Segala Kesulitan Hidup

Solusi Segala Kesulitan Hidup

Sebagai orang yang beriman, kita diwajibkan untuk percaya dan yakin kepada kudrat serta iradat Allah s.w.t. Di antara Nama-Nama Allah yang suci juga Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi adalahالناصر  iaitu Maha Pemberi bantuan. Dengan keimanan kita itu, kita juga sedaya upaya ingin meraih bantuan Allah ketika kita mengharungi segala kesulitan serta dugaan kehidupan di dunia ini.

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t telah menunjukkan antara cara yang berkesan untuk mendapatkan bantuan-Nya.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ (البقرة: 45)

Yang bermaksud: “Dan mintalah bantuan (kepada Tuhan) melalui kesabaran dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah sangat berat, melainkan bagi mereka yang khusyuk.” [Surah Al-Baqarah, ayat 45].

Di dalam tafsir Al-Qurtubi dinyatakan bahawa, tatkala Allah s.w.t memilih ibadah solat daripada pelbagai ibadah yang lain, ia menunjukkan betapa pentingnya ibadah tersebut. Begitu hebat dan pentingnya peranan solat dan juga sifat bersabar dalam kehidupan seorang mukmin. Dengan melaksanakan kedua-dua amalan ini, seorang mukmin bakal meraih bantuan dari illahi. Sebagai jalan keluar dan juga huraian ketika berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Hendaklah kita ikuti tauladan yang telah ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w, sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Dawud. Setiap kali Nabi s.a.w ada urusan, Baginda dengan segera mendirikan solat.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hijr, ayat 97-99, yang mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w ketika permulaan Islam.

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (الحجر: 97) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (الحجر: 98) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (الحجر: 99).

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, dan jadilah daripada golongan mereka yang bersujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap dan yakin (kematian).” [Surah Al-Hijr, ayat 97-99].

Timbul persoalan di benak hati ini. Solat yang bagaimanakah kita sepatutnya lakukan untuk mendapatkan pertolongan ilahi dari pelbagai masalah kehidupan? Sudah tentu, ia adalah solat yang didirikan dengan penuh kekhusyukan serta ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

Apabila kita mendirikan ibadah solat, adakah kita hanya menganggapnya sebagai bacaan dan pergerakan semata-mata? Apakah kita sedar bahawa di sebalik setiap ungkapan yang kita lafazkan, kesemuanya mengandungi doa dan zikir yang tersirat?

Apabila kita sedang rukuk, ia merupakan perbuatan yang melambangkan kehormatan. Maka itu, tidak hairanlah sekiranya zikir yang diungkapkan ketika rukuk سبحان ربي العظيم, membawa erti pujian kepada keagungan Allah SWT. Apabila kita sedang sujud, kita meletakkan dahi di atas bumi, sebenarnya kita sedang mengakui kedudukan kita sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, sambil kita membaca سبحان ربي الأعلى. Begitulah ertinya, memuji ketinggian Allah SWT ke atas diri kita. Apabila kita sedang duduk melutut, ia merupakan perbuatan seorang hamba yang memohon sesuatu daripada Tuhannya. Begitulah erti di sebalik doa yang dibaca apabila kita sedang duduk di antara dua sujud; memohon pengampunan, rahmah, belas kasihan dan pemberian daripada Allah s.w.t.

Dengan memahami makna di sebalik zikir dan doa yang dilafazkan sewaktu melaksanakan ibadah solat, ia dapat melahirkan rasa khusyuk di dalam diri, lantas memberikan suatu pengalaman yang indah dalam pelaksanaan solat.

Kesemua ini membuktikan bahawa solat itu bukanlah sekadar pergerakan fizikal badan dan ungkapan lafaz yang tertentu. Akan tetapi, apabila kita memahami apa yang dilafazkan, ia membawa maksud yang lebih mendalam, iaitu kesedaran bahawa diri kita ini sedang berhubungan secara langsung dengan Allah s.w.t dan sedang berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Agung.

Ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w:

قال ﷺ: (إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلَاتِهِ فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ)

Yang bermaksud: “Apabila seseorang itu melaksanakan solat, maka dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, atau Rabbnya berada diantara dia dan kiblat.” [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim].

Sebagaimana orang yang solat sering berzikir dan mengingati Tuhannya, begitu juga kehidupannya selepas dia selesai dari solat. Dia sering ingat kepada Allah SWT. Seorang muslim tidak akan berdusta, tidak memungkiri janji, tidak menghina dan sebagainya, kerana penghayatannya terhadap ibadah solat, menjadikan dirinya insan yang lebih peka akan pemerhatian Allah terhadap dirinya, kerana Allah itu Maha Melihat. Ini kerana zikir dan doa kepada Allah itu bukan sahaja terhad di dalam ibadah solat. Begitu juga, melaksanakan amal soleh hendaklah diterapkan pada setiap keadaan dan masa.

Semoga dengan pengamatan yang lebih mendalam terhadap setiap doa dan zikir yang kita amalkan, ia dapat mengukuhkan lagi keimanan dan kerohanian kita.  Semoga dengan bantuan dari Allah SWT, kita dapat menjadi seorang muslim yang gigih beribadah, mendekatkan diri kepada Allah Azza Wajalla dan menjadi seorang insan yang sentiasa bersyukur, merendahkan diri dan disenangi insan lain. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Berhikmah Dalam Berdakwah

Berhikmah Dalam Berdakwah

Maksud Dakwah

Dakwah Islam mestilah disampaikan dengan cara lemah lembut. Hikmah merupakan asas dalam berdakwah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan yang diajarkan kepada kita di dalam Al-Quran. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 125:

﴾ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ﴿

((Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmulah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.))

Al-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah telah berkata dalam tafsirannya bagi ayat ini: “Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan RasulNya agar menyeru manusia kepada jalan Allah dengan cara hikmah.” Firman Allah SWT: ((dan berdebatlah dengan mereka yang engkau serukan itu dengan cara yang lebih baik)) yakni, apabila perlu dilakukan dialog-dialog dan berjidal, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang terbaik, iaitu dengan lemah lembut dan tutur kata yang baik.”

Di dalam ayat yang lainnya, Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 46:

﴾وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ، إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ﴿

((Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.))

Ini merupakan landasan penting yang wajib dipegang oleh setiap mereka yang bergelar da’i atau pendakwah dalam mengajak orang ramai kepada agama dan jalan Allah Azza wa Jalla.

Firman Allah SWT juga, di dalam Surah Yusuf ayat 108:

﴾قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ﴿

((Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia kepada agama Allah, berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.))

Tugas Dakwah, Tugas Pelbagai Cabaran

Dakwah adalah tugas yang berat yang hanya boleh dipikul oleh orang-orang yang mulia. Pendakwah yang mengajak kepada jalan Allah SWT pasti akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, sebagaimana yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang pernah memegang tugas dakwah ini. Ini sudah menjadi sunnatullah pada orang-orang terdahulu dan sekarang. Nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu juga telah menghadapi pelbagai cabaran berbentuk penentangan, penolakan, keengganan dan kesombongan dari pelbagai pihak dan tingkatan manusia.

Maka dalam meneruskan tugas dan usaha dakwah yang berat ini, seseorang da’i itu semestinya menghiasi dan melengkapi dirinya dengan sikap kesantunan, kesabaran dan kebijaksanaan.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 269:

﴾يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَاب﴿

((Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan, melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.))

Jadi timbul pertanyaan di benak fikiran, apakah yang dimaksudkan dengan hikmah itu? Hikmah bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada masa atau keadaan yang tepat. Hikmah juga membawa erti menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan masalah yang baru. Menyelesaikan masalah dengan menimbulkan masalah lain atau masalah yang lebih besar lagi, merupakan bukti ketiadaan hikmah.

Di antara perkara yang memperkeruhkan dakwah ke jalan Allah SWT adalah dakwah yang dilakukan dengan cara bengis, keras, kasar dan bongkak.

Mengharungi Cabaran Dengan Kelembutan

Rasulullah ﷺ bersabda:

(إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ، وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ.)

“Sesungguhnya kelembutan tidaklah berada pada sesuatu melainkan akan membuatnya lebih indah atau bagus, dan tidak akan tercabut sesuatu darinya kecuali akan membuatnya tidak cantik.” [HR. Muslim]

Dan Rasulullah ﷺ bersabda:

(مَنْ يُحْرَمِ الرِّفْقَ يُحْرَمِ الْخَيْرَ.)

“Barangsiapa yang diharamkan baginya Ar-Rifq (lemah lembut), maka dia diharamkan dari kebaikan.” [HR. Muslim]

Seorang pendakwah itu mestilah mencontohi petunjuk dan akhlak Nabi Muhammad ﷺ di dalam melaksanakan dakwahnya, di antara akhlak yang paling agung itu adalah kelembutan.

Sikap lemah lembut dan berhikmah ini tidaklah bermaksud meniadakan ketegasan dalam memegang prinsip dan menunjukkan sikap yang disyariatkan, sebagai contoh: ketika kehormatan Islam diperlekehkan. Ada masa-masa tertentu di mana ketegasan perlu ditunjukkan ketika berdakwah. Jika tidak, dakwah kita tidak akan menghasilkan apa-apa.

Contoh-Contoh Berhikmah Dalam Berdakwah

Di sini dikongsikan beberapa contoh hikmah dalam berdakwah, yang jika ia diabaikan, boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini di kalangan masyarakat.

Pertama: Memperhatikan Keadaan Orang Yang Sedang Kita Berdakwah.

Seorang da’i mesti memperhatikan keadaan orang yang ingin disampaikan dakwah kepadanya. Jangan hanya pukul rata sahaja. Dia mestilah menggunakan cara yang paling bermanfaat dan cekap. Cara yang paling bermanfaat untuk masyarakat umum, belum tentu sesuai dengan cara berdakwah kepada raja atau penguasa atau mereka yang mempunyai pangkat dan kedudukan.

Di dalam Surah Thaha ayat 44, Allah Ta’ala telah berfirman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Alaihimassalam ketika mengutus mereka berdua kepada Firaun:

﴾فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا، لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ﴿

((Hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga dia beringat atau merasa takut.))

Ini kerana memberikan nasihat dan peringatan dengan kata-kata yang lembut, sekurang-kurangnya dapat menjadikan hati yang keras dan bongkak untuk menjadi lebih beringat ataupun merasa takut.

Kedua: Memperhatikan Waktu Dan Keadaan Ketika Berdakwah.

Sungguh tidak bijak, apabila seorang da’i tiba-tiba sahaja mendatangi seorang yang sedang tidur, lalu membangunkannya untuk menyampaikan dakwah kepadanya tidak tentu pasal. Dan tidak bijaksana juga, apabila seorang da’i datang kepada seseorang yang sedang dalam keadaan emosi lalu berceramah panjang lebar di hadapannya. Jika dia dalam keadaan normal, mungkin sahaja dia akan mendengar kata-kata kita yang ingin disampaikan.

Berdakwah perlu kepada waktu dan keadaan yang tepat. Ketika suasana sedang tegang atau keruh, jauhilah dari berdebat mahupun berdialog sehingga ketegangan itu telah hilang. Ini kerana, apabila dakwah itu dipaksakan kepada orang lain, ia boleh menimbulkan hasil yang tidak menguntungkan.

Ketiga: Meletakkan Skala Prioriti Atau Keutamaan Yang Betul.

Seorang da’i mestilah dapat menempatkan skala keutamaan yang betul dalam berdakwah. Dia hendaklah mendahulukan perkara yang paling penting, seperti Tauhid dan Akidah, atau yang berkenaan dengan moral masyarakat. Janganlah sampai mendahulukan perkara-perkara yang remeh temeh dan kecil lalu meninggalkan perkara yang lebih utama dan besar dan lebih berbahaya.

Nabi Muhammad ﷺ telah menjelaskan kepada kita, contoh dari skala keutamaan tersebut, ketika Baginda ﷺ mengutuskan Muadz bin Jabal radhiyallahu’anhu ke negeri Yaman. Beliau ﷺ bersabda kepadanya:

(إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. فَإِذَا عَرَفُوا اللَّهَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ. فَإِذَا فَعَلُوا، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ. فَإِذَا أَطَاعُوا بِهَا فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ.)

“Engkau bakal mendatangi satu kaum di kalangan ahli kitab, maka jadikanlah dakwahmu yang pertama kepada mereka; beribadat kepada Allah semata-mata. Jika mereka telah mengenali Allah, sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari dan semalam. Jika mereka melakukannya, maka sampaikanlah kepada mereka bahwa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat, yang diambil dari orang-orang kaya dan diserahkan kepada fakir miskin di antara mereka. Jika mereka mentaatinya, maka ambillah harta-harta itu dari mereka dan hindarilah harta-harta kesayangan mereka.”

Keempat: Tidak Memandang Rendah Terhadap Mereka Yang Sedang Kita Berdakwah.

Sikap meremehkan dan memandang rendah ini dapat membuatkan mereka yang kita ingin sampaikan dakwah kepadanya tidak mahu mendengar apatah lagi menerima dakwah. Janganlah sekali-kali beranggapan bahawa diri kita ini jauh lebih baik daripadanya, atau memandang diri kita ini tersangat istimewa daripadanya (kerana ilmu yang ada pada diri kita atau yang lainnya).

Mu’tamir bin Sulaiman meriwayatkan bahawa dia mendengar ayahnya berkata, “Jangan haraplah orang yang telah engkau membuatkannya marah itu mahu mendengarkan kata-katamu.”

Nabi Muhammad ﷺ telah menjelaskan bagaimana sikap seorang muslim terhadap mereka yang lebih tua dan yang lebih muda darinya. Iaitu menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda. Sikap menghargai orang lain terutama dalam konteks dakwah, dapat membuatkan dakwah kita itu lebih senang diterima.

Kelima: Bercakap kepada Manusia Menurut Apa yang Mereka fahami.

Ini sangat penting untuk menghindari kesalahfahaman yang menyebabkan akhirnya timbul konflik dan perbalahan. Demikian pula dalam menyampaikan ilmu agama kepada manusia, seorang da’i mestilah memperhatikan tingkat pemahaman mereka dalam mencerna apa yang akan disampaikan, jangan sampai kata-kata yang kita ungkapkan, akhirnya menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat awam.

Imam Bukhari rahimahullah telah membuat bab dalam kitab shahihnya: bab mengkhususkan sebuah ilmu kepada suatu kaum, yang tidak disampaikan kepada kaum yang lain, kerana bimbang mereka tidak dapat memahaminya. Kemudian beliau membawakan perkataan Ali bin Abi Talib radhiyallahu’anhu:

(قَالَ عَلِيٌّ رضي الله عنه: حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ، أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ؟)

“Berbicaralah kepada orang ramai dengan apa yang dapat mereka fahami, adakah kamu suka jika mereka mendustai Allah dan RasulNya?”

Ibnu Hajar rahimahullah di dalam kitabnya Fathul Bari mengatakan: “Hadith ini menunjukkan sesuatu perkara yang masih samar-samar tidak layak disebarkan kepada masyarakat awam. Perkataan Ali radhiyallahu’anhu ini seperti yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud radhiyallahu’anhu, “Tidaklah kamu menyampaikan sesuatu yang tidak dapat dicerna oleh akal sesuatu kaum, melainkan akan menimbulkan fitnah bagi sebahagian mereka.”

Kesimpulan

Dari apa yang telah disentuhkan di atas, dapat disimpulkan kepada perkara-perkara yang berikut ini:

  1. Pada asalnya dakwah mestilah disampaikan dengan hikmah dan lemah lembut.
  2. Lemah lembut ini tidaklah menafikan sikap ketegasan dalam memegang sesuatu prinsip.
  3. Gangguan dan penentangan merupakan perkara yang biasa kerana itu sudah menjadi sunnatullah.
  4. Seorang da’i haruslah bersabar dan berlapang dada dalam menerima dugaan dan cabaran dalam meneruskan tugasan dakwah.
  5. Hikmah adalah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya, menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan masalah baru dan bercakap sesuai situasi dan keadaan.
  6. Kesabaran dan kesantunan adalah bekalan yang paling berharga dalam tugasan dakwah. Kesabaran akan melahirkan ketenangan dalam bertindak dan tidak tergesa-gesa dalam memutuskan sesuatu perkara.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan mereka yang menyeru ke jalan Allah Azza Wa Jalla dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan kesantunan, berlandaskan petunjuk Kitabullah dan Sunnah Rasulullah ﷺ.

Ustaz Muhammad Taufiq Kasan

Pegawai Dakwah, Persatuan Muhammadiyah