Nasihat itu adalah suatu perkara yang penting dalam Islam. Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w menjadikannya sebahagian dari agama kita. Apabila kita memberi nasihat kepada orang lain, ataupun kita diminta nasihat dari orang lain, penting untuk kita ikhlaskan diri kita ketika menasihati kerana ia merupakan suatu ibadah dan juga untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Apabila kita menasihati, perlu untuk kita Ittiba’ (mengikuti) panduan yang telah diajarkan Baginda s.a.w melalui ilmu tanpa mengikuti hawa nafsu dan mengikuti setiap tuntunan-Nya.

Justeru itu, agama adalah nasihat. Seperti mana yang telah disebutkan di dalam hadith. Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daari radhiyallahu ‘anhu

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمٍ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: للهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ.

Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daari r.a, ia berkata bahwa Nabi s.a.w bersabda: “Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin, serta bagi umat Islam umumnya.” (Riwayat Muslim)

Sebagaimana kata Al-Khatthabi r.h, di dalam kitabnya Jami’ul ‘Ulum wal Hikam:

النَّصِيْحَةُ كَلِمَةٌ يُعَبَّرُ بِهَا عَنْ جُمْلَةٍ هِيَ إِرَادَةُ الخَيرِ لِلْمَنْصُوْحِ لَهُ.

“Nasihat adalah kalimat ungkapan yang bermakna mewujudkan kebaikan kepada yang ditujukan nasihat.”

Imam Nawawi r.h berkata di dalam kitabnya Al-Minhaj Syarah Shahih Muslim: “Menasihati sesama muslim (selain ulil amri) bererti memperlihatkan kepada mereka berbagai-bagai faedah, iaitu dalam urusan dunia dan akhirat, tidak menyakiti mereka, mengajar mereka perkara yang tidak mereka ketahui, menolong mereka dengan perkataan dan perbuatan, menutup aib mereka, menjauhkan mereka dari bahaya dan memberi mereka manfaat dan melaksanakan amar ma’ruf terhadap kejahatan.”.

Allah s.w.t telah berfirman di  dalam surah Al-Hajj ayat 41:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُور

Yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.


Ayat ini menceritakan mengenai umat Nabi Muhammad s.a.w, di mana Allah s.w.t telah memuji umat Muhammad di bawah kepimpinan Nabi-Nya, setelah mereka mula mendapatkan kedudukan yang kukuh di kota Madinah. Namun, turunnya ayat ini menjelaskan bahawa kemenangan yang mereka peroleh adalah semata-mata kerana mereka merupakan masyarakat yang selalu راضية مرضية yang redha kepada Allah s.w.t dan diredhai oleh-Nya. Di dalam keadaan perang ataupun damai, mereka tetap mendirikan solat, tetap menjaga hubungan mereka dengan Allah s.w.t.

Mereka tidak lupa juga untuk mengeluarkan zakat, mengeluarkan sebahagian harta mereka untuk membantu orang-orang fakir miskin, orang yang berhutang, fi sabilillah dan lain-lain, sehinggakan kebakhilan, sebagai suatu penyakit bahaya yang boleh merosakkan pertumbuhan iman, dapat dicegah.

Dengan yang sedemikian, maka terdapatlah keseimbangan di antara kedua-dua tali hubungan. Pertama, tali hubungan dengan Allah s.w.t iaitu dengan mengerjakan sembahyang, dan yang kedua, tali hubungan dengan sesama manusia, iaitu dengan mengeluarkan zakat.

Di dalam ayat yang sama, kata Allah s.w.t: “Dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf”

Pada ayat ini, terdapat anjuran dan galakan untuk sama-sama berbuat yang ma’ruf. Yang dimaksudkan dengan ma’ruf di sini ialah anjuran-anjuran atau perbuatan yang diterima baik dan disambut dengan senang hati oleh masyarakat ramai. Semakin bertambahnya anjuran kepada yang ma’ruf, maka semakin bertambah majulah sesebuah masyarakat.

Kemudian Allah s.w.t mengatakan: “Dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar”

Makna mungkar ialah segala anjuran atau perbuatan yang masyarakat bersama tidak senang melihat atau menerimanya kerana tidak sesuai dengan garis-garis kebenaran. Maka apabila masyarakat membiasakan diri dengan berbuat yang ma’ruf, perasaan mereka akan lebih lancar dalam menolak perkara yang mungkar. Oleh itu, itu maka amar ma’ruf nahi mungkar hendaklah seimbang, atau dengan sendirinya timbul keseimbangan di antara keduanya. Disebabkan dengan adanya keseimbangan di antara kedua ini, akan  menjadikan hidup lebih subur kerana dipupuk oleh iman kepada Allah azza wajalla. Ini dijelaskan di dalam ayat yang lain, iaitu pada ayat 110 dari surah Ali Imran:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Kata Allah: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Inilah sebab mengapa umat Islam menjadi umat yang terbaik, kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t. Kalau iman tidak ada lagi, maka akan terpupuslah amar ma’ruf nahi mungkar. Bahkan akan menjadi yang sebaliknya, iatu “nahi ’anil ma’ruf amar bil mungkar”. “Mencegah untuk membuat kebaikan, dan menganjurkan untuk perbuatan mungkar” wal’iyazubillah.

Dan Allah s.w.t mengakhiri ayat yang sama iatu ayat ke 41 dalam surah Al-Hajj tadi dengan: “Dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan”

Yang bermaksud: Walau dalam keadaan apa jua pun, baik ketika lemah yang perlu kepada kesabaran, atau menghadapi perjuangan yang amat payah dengan musuh kerana mempertahankan ajaran Allah atau ketika telah tercapai kemenangan, sekali-kali jangan lupa, bahawa keputusan terakhir adalah pada Allah jua.

Maka itu, dapatlah kita perhatikan, yang akan membawa keadaan masyarakat dari kegelapan kejahilan, kepada cahaya kebenaran adalah iman. Apabila cahaya iman telah dipupuk, maka Allah s.w.t menjamin akan mempertahankannya. Dan setelah kita mendapatkan keizinan Tuhan untuk mempertahankan diri, kita perlu menjaganya agar kepercayaan kepada Tuhan tidak runtuh di dunia ini. Dan kalau kemenangan tercapai, maka akan timbullah tujuan yang ingin tercapai, iaitu untuk menjadi sebaik-baik umat. Dan bagaimana caranya untuk kita menjadi sebaik-baik umat tadi? Caranya adalah menjadi umat yang tetap teguh dengan mendirikan solat, dan berzakat, serta melaksanakan amar ma’ruf dan juga nahi mungkar.

Moga Allah memberikan kita keteguhan, dalam menjaga cahaya keimanan, dengan yang pertama dan utama untuk mendidik ahli keluarga kita untuk mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan amr ma’ruf dan nahi mungkar dengan memberi nasihat.