by Ustaz Md Ishlaahuddin Jumat | May 28, 2024 | Artikel
Setiap nikmat yang diperolehi oleh setiap insan datang daripada Allah s.w.t. Nikmat ini diperolehi tanpa mengira sama ada mereka itu orang-orang yang beriman ataupun yang kufur kepada-Nya. Begitulah luasnya pemberian nikmat oleh Allah s.w.t yang dikurniakan kepada makhluk-makhluk-Nya di dunia ini sehinggakan kita tidak mampu menghitungnya. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ibrahim, ayat ke-34:
وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ.
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”
Bagi umat Islam, di antara nikmat yang perlu diberikan perhatian dalam kehidupan ini adalah nikmat masa dan usia. Kita perlu memberikan perhatian kepada kedua-dua nikmat ini kerana ia adalah di antara nikmat yang paling berharga yang dikurniakan Allah SWT dalam kehidupan kita ini.
Mengapakah nikmat masa dan usia merupakan di antara nikmat yang paling berharga? Ini kerana masa kita akan terus berjalan ke hadapan dan usia kita akan tetap terus bertambah. Ia sama sekali tidak akan berhenti ataupun menunggu kita. Kita juga tidak akan mampu untuk memberhentikannya, apa lagi ingin mengembalikan masa yang telah berlalu. Maka itu, amat penting untuk kita memerhatikan bersama nasihat Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan masa.
Nabi s.a.w bersabda, daripada Abdullah Bin Abbas r.a:
((اغْتَنِمْ خَمْسًا قبلَ خَمْسٍ: شبابَكَ قبلَ هَرَمِكَ، وصِحَّتَكَ قبلَ سَقَمِكَ، وغِناءكَ قبلَ فَقْرِكَ، وفَراغَكَ قبلَ شُغلِكَ، وحياتَكَ قبلَ موتِكَ))
“Gunakanlah yang lima sebelum datang yang lima. Gunakan masa mudamu sebelum masa tuamu datang. Gunakan masa sehatmu sebelum masa sakitmu datang. Gunakan masa kayamu sebelum masa miskinmu datang. Gunakan waktu luangmu sebelum waktu sempitmu datang. Gunakan masa hidupmu sebelum masa matimu datang.” (Riwayat Abi Dunya, Hakim, Baihaqi – disahihkan oleh Albani)
Walau bagaimanapun, berapa ramai daripada manusia yang telah mensia-siakan masa dan usia yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya?
Nabi s.a.w bersabda, daripada Abdullah bin Abbas r.h:
((نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ.))
“Dua nikmat yang banyak dilalaikan manusia; kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat Bukhari)
Maka itu, sebagai orang yang beriman, kita hendaklah gunakan masa dan usia yang diberi kepada kita dengan sebaik-baiknya dan janganlah mensia-siakannya dengan perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat.
Masa dan usia adalah suatu perkara yang misteri bagi kita semua. Ini kerana kita tidak akan tahu berapa banyakkah masa dan usia yang diberikan Allah s.w.t kepada kita. Namun, Nabi s.a.w telah memberikan satu nasihat yang sangat berguna walaupun dengan segala kejahilan kita mengenai pengakhiran usia kita.
Daripada Abdul Rahman Bin Bakrah RA daripada bapanya, dia berkata:
أنَّ رجلًا قالَ: يا رسولَ اللَّهِ أيُّ النَّاسِ خيرٌ؟ قالَ : مَن طالَ عمرُهُ، وحَسنَ عملُهُ، قالَ: فأيُّ النَّاسِ شرٌّ؟ قالَ: مَن طالَ عمرُهُ وساءَ عملُهُ.
“Bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Kita semua mengetahui kewajipan untuk sentiasa melakukan amal kebaikan. Maka itu, tetapkanlah satu keazaman dalam diri kita untuk sentiasa memanfaatkan masa dan usia yang diberi, demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.
Sebagai orang yang beriman, sudah pastinya kita mengetahui akan akibat daripada kelalaian, kealpaan dan kegagalan kita dalam memanfaatkan masa yang diberi. Akibat tersebut telah difirmankan Allah s.w.t di dalam Surah Al-Asr:
وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Maka itu, marilah kita bebaskan diri kita daripada terbelenggu dengan kerugian tersebut. Bagaimana caranya? Dengan memastikan keimanan kita sentiasa hidup dan subur di dalam hati dan jiwa kita. Di samping itu, penuhilah masa kita dengan amal soleh seperti membaca Al-Quran dan menghayatinya supaya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at kepada orang yang membacanya. Kita juga perlu terus mendalami hadis-hadis Nabi s.a.w serta mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat. Pada masa yang sama, manfaatkanlah sisa umur yang kita ada ini dengan menjadi insan yang dapat memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada insan yang lain.
Semoga Allah SWT memberkati masa dan usia kita dan menerima segala amal ibadah kita. Amin Ya Rabbal ‘alamin.
by Ustaz Md Ishlaahuddin Jumat | May 10, 2019 | Artikel
IBADAH puasa di bulan Ramadan mempunyai peranan yang sangat penting untuk memupuk persaudaraan di antara manusia.
Menerusi ibadah ini, umat Islam diajar sifat kasih sayang dan prihatin terhadadp golongan yang kurang berkemampuan.
Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat menekankan bahawa umat Islam juga sangat digalakkan membantu antara satu sama lain lebih-lebih lagi semasa Ramadan ini.
“Maka itu, umat Islam perlu mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk memupuk dan mengukuhkan lagi persaudaraan kita,” tegas Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.
IKATAN PERSAUDARAAN
Persaudaraan adalah sesuatu yang universal yang melibatkan orang Islam dan juga bukan Islam. Persaudaraan di kalangan umat Islam pula digalakkan kerana Allah swt telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara.
Allah berfirman: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” – (Al-Hujurat: 10).
Sesungguhnya, penegasan Allah swt tentang bersaudaranya orang-orang yang beriman mempunyai maksud yang mendalam, kata Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.
Dalam ayat yang disebutkan tadi, Allah swt menggunakan kalimah Ihwatun dalam menegaskan tentang persaudaran orang-orang yang beriman.
Isu persaudaraan ini adalah isu yang sangat penting di dalam Islam kerana kalau tidak, mengapa Allah menegaskannya di dalam al-Quran.
Oleh kerana Allah menekankan tentang pentingnya persaudaraan, Allah telah memberikan panduan dan peringatan tentang perkara ini melalui al-Quran dan Hadis Nabi saw, jelas Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.
PANDUAN ILAHI
Banyak sekali panduan yang ditunjukkan Allah dan Rasul-Nya di dalam al-Quran dan hadis untuk saling mengukuhkan persaudaraan baik di dalam mahupun di luar Ramadan.
Antara panduannya ialah seperti berikut:
Pertama, orang-orang yang beriman perlu mengelakkan diri daripada pertengkaran dan permusuhan.
Allah swt berfirman: “Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara.” – (Al-Imran: 103).
Ayat tadi menyentuh tentang Aus dan Khazraj, maka kita boleh mengambil pengajaran daripada mereka yang mana semasa jahiliah, mereka saling bertengkaran dan bermusuhan, namun apabila datangnya Islam, agama yang mulia ini telah menyatukan mereka dan menjadikan mereka bersaudara, jelas Ustaz.
Kemudian, Nabi bersabda:
“Lelaki-lelaki yang sangat dibenci oleh Allah adalah yang sangat kuat dalam bertengkar.” – (HR Bukhari)
Kedua, orang yang beriman perlu saling mengasihi dan menyayangi antara satu dengan yang lain.
Rasulullah bersabda: “Engkau (Nukman bin Basyir) melihat orang-orang beriman saling menyayangi mereka, saling menyenangi mereka, dan saling mengasihi mereka sebagaimana satu tubuh, ketika satu anggota badannya sakit, maka seluruh tubuh ikut merasakan sakit dengan tidak bisa tidur dan demam.” – (HR Bukhari).
Ketiga, orang Mukmin perlu saling mencintai dan tidak saling membenci.
Di antara cara untuk menimbulkan rasa cinta adalah dengan memberi hadiah.
Nabi saw bersabda: “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” – (HR Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrod. Hadis ini diriwayatkan oleh Syaikh Al-Albani).
Keempat, orang-orang Mukmin perlu saling tolong-menolong dan bantu-membantu dan tidak membiarkan ego menguasai dirinya.
Allah swt berfirman: “Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.
“Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya.
“Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” – (At-Taubah: 71).
PERBAIKI HUBUNGAN
Ustaz Muhd Ishalaahuddin juga berkata, Ramadan adalah waktu terbaik untuk membantu insan yang lain dengan memberikan makanan kepada mereka walaupun hakikatnya mereka berkemampuan.
Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” – (HR Tirmizi).
Ramadan juga merupakan sebaik-baik waktu untuk umat Islam mengambil kesempatan memupuk dan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kita.
Allah swt dan Nabi saw pula telah menegas dan menekankan akan pentingnya persaudaraan dan kesatuan.
Maka ia secara langsung menjadi perintah Allah dan rasul-Nya kepada orang yang beriman untuk sentiasa menjaga dan memelihara persaudaraan dan ukhuwah.
Oleh itu, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin mengajak umat Islam berusaha mengukuhkan persaudaraan dan memperbaiki hubungan di bulan yang mulia ini sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan rasul-Nya.
“Ketahuilah, tiada lagi hubungan yang lebih indah daripada persaudaraan yang didasari kasih sayang kerana Allah dan rasul-Nya,” ujarnya.
BIODATA
– Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat, 34 tahun, merupakan Naib Presiden 1, Persatuan Muhammadiyah.
– Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.
– Di peringkat prauniversiti, beliau belajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
– Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Hadis).
– Kini, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana Falfsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).